
KOTA KINABALU: Pejabat seorang aktivis yang memperjuangkan hak-hak Orang Asal Sabah (OAS) disimbah cat di Iramanis, di sini, kira-kira jam 1 pagi, disyaki bermotif ugutan.
Pemilik premis dan aktivis terbabit, Datuk Verdon Bahanda percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan ugutan bunuh dan kecaman-kecaman yang diterimanya semenjak akhir-akhir ini.
"Insiden ini mungkin ada hubung kaitnya dengan ugutan bunuh yang ditularkan di media sosial pada minggu lepas," katanya, menerusi kenyataan medianya.
Verdon berkata demikian merujuk ugutan yang pernah diterimanya iaitu nota Verdon Halal 'di bunu' (dibunuh) dengan gambar sepucuk pistol dan magazin peluru di media sosial.
Menurutnya, perbuatan itu disyaki didalangi oleh 'orang-orang upahan' atau pengikut-pengikut yang taksub melindungi pendatang tanpa izin (PTI) di negeri ini.
"Saya percaya kejadian itu juga ada kaitan dengan gerakan OAS yang digerakkan secara besar-besaran sehingga menimbulkan masalah untuk pihak tertentu.
"Setakat ini, saya tidak mempunyai musuh dalam dunia perniagaan ataupun bermusuh dengan orang lain," katanya, selepas membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kejadian menimpa dirinya sebagai terancang dan percaya ada pihak tertentu yang mengupah 'orang-orang upahan' terlibat.