Anda di sini

Kawasan Batang Sadong berpotensi sebagai lokasi untuk ‘Insta Worthy’

Advertisement
 Nancy menunjukkan tapak projek Dewan Warisan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong kepada Setiausaha Politiknya Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.
DI SINI: Nancy menunjukkan tapak projek Dewan Warisan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong kepada Setiausaha Politiknya Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.

KUCHING: Kawasan Batang Sadong berpotensi sebagai lokasi untuk ‘Insta Worthy’ kepada mereka yang mencari keunikan dan kelainan serta mahu berkongsi penceritaan pengalaman semasa berkunjung ke sesuatu tempat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata demikian ketika mengadakan lawatan meninjau kawasan tapak yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan peranginan dan pelancongan.

“Di Simunjan, kita ada tempat riadah untuk keluarga dan penggemar ekopelancongan dapat menikmati pemandangan serta air sungai bersih yang mengalir dari air terjun Wong Muas.

“Selain, tempat berkelah seperti di Sungai Krian, Kepayang manakala Gunung Ngeli untuk sukan hiking. “Di Gedong pula, kita ada pusat pengeluaran tenunan songket Sarawak dan mi udang.

“Di Sadong Jaya ini, kita ada produk makanan etnik Bugis seperti burasak, ikan pindang, daging kak daro, sambalak celak, cucor lumek dan kambu feria,” katanya menerusi kenyataannya kelmarin selepas melawat perkembangan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Batang Sadong.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata pihaknya telah bekerjsama dengan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) menjalankan pelbagai projek.

Antaranya ialah tapak cadangan projek ala Rehat dan Rawat (R&R) dan cadangan projek Dewan Warisan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong.

“Dewan Warisan Batang Sadong akan digunakan sebagai pusat kebudayaan pelbagai masyarakat di kawasan Batang Sadong yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, Bugis, Jawa dan Iban,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan bagi kawasan itu.

Ia merupakan kunjungan pertama beliau selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula sejak 18 Mac dan berakhir pada 9 Jun lalu.

Antara projek RTP siap adalah projek naik taraf Rumah Usahawan Wanita Simunjan bernilai RM200,000 yang mula dibina pada Oktober tahun lalu dan siap pada April tahun ini.

Advertisement