Anda di sini

UMW Toyota perkenalkan Toyota RAV4 generasi kelima

Advertisement
 Model Toyota RAV4 generasi kelima kini dilancarkan.
BAHARU: Model Toyota RAV4 generasi kelima kini dilancarkan.

KUCHING: UMW Toyota Motor (UMWT) kini menambah satu lagi model import ke dalam barisan penawaran sedia ada dengan pengenalan Toyota RAV4 generasi kelima semalam.

RAV4 merupakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis baharu ketika ia mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1990-an.

Ia menawarkan praktikaliti dan dalam masa yang sama memiliki kendalian dan keselesaan seperti sebuah kereta penumpang.

Dengan cepat model ini menempa kejayaan dan mencipta kategori baharu dalam pasaran automotif.

 Ruang dalaman hadapan Toyota RAV4.
CANGGIH: Ruang dalaman hadapan Toyota RAV4.

RAV4 serba baharu diperkenalkan oleh UMW Toyota Motor semalam menerusi majlis pelancaran maya yang pertama kali dilakukan, dirasmikan Presiden UMWT, Ravindran K. yang diikuti sesi penstriman dalam talian yang menjelaskan perincian SUV berkenaan dan kemudiannya diteruskan dengan satu wawancara eksklusif bersama Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran UMWT, Akio Takeyama.

“Toyota RAV4 menjadi penawaran wajib baharu barisan kenderaan CBU kami sejak pertengahan 1990-an ketika kami mula menjual model generasi keduanya.

“Kini, kami bawakan pula generasi kelima SUV ini, yang dipilih sebagai pemenang bagi Japan Car of the Year 2019-2020.

“Seperti sebelum ini, pelanggan akan menikmati pengalaman pemilikan yang menyenangkan, bukan hanya dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, tetapi juga sokongan lepas jualan di seluruh negara,” jelas Ravindran K.

Terdapat dua varian ditawarkan bagi RAV4 serba baharu ini iaitu RAV4 2.5L yang dijual pada harga RM215,665 dan RAV4 2.0L dengan harga bermula RM196,436 (tidak termasuk insurans).

Kedua-dua varian diberi enam pilihan warna, ‘Dark Blue Mica’, ‘Grey Metallic’, ‘White Pearl CS’, ‘Red Mica’, ‘Attitude Black’ dan ‘Silver Metallic’.

Generasi kelima RAV4 mempunyai reka bentuk luaran serba baharu dengan sentuhan ranggi dan moden serta penampilan nampak tegap, dengan garis tajam pada badan, membawa imej yang kompleks serta berkuasa bagi SUV premium ini.

 Ruangan kargo Toyota RAV4.
LEBIH LUAS: Ruangan kargo Toyota RAV4.

Sementara itu, Akio Takeyama berkata, konsep rekaan oktagon bersilang pada RAV4 serba baharu ini memberikan tanggapan yang kuat terhadapnya, sementara rekaan gril trapezoid berlapis membawa imej lebih lebar dan stabil, sekali gus memberi penekanan terhadap fungsi lasak sebuah SUV.

Jelasnya, seperti model-model terkini Toyota, RAV4 menggunakan platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mana platform berkenaan memberi definisi baharu bagi prestasi pengendalian dan keselesaan dengan mempertingkatkan tiga aspek berikut, ketahanan, kestabilan dan aspek penglihatan.

“Semua ini menyediakan asas yang kukuh bagi kemampuan, keselesaan dan keselamatannya.

“Sebagai contoh, cermin sisi kini diposisikan pada pintu dengan tiang-A yang lebih tirus untuk memudahkan penglihatan. Struktur binaan terbaharu ini juga memberikan lebih kestabilan dan kurang olengan badan.

“Dengan teknologi TNGA, memandu RAV4 serba baharu ini adalah sama pengalamannya ketika anda memandu kereta sedan dengan ketahanan, kestabilan dan penglihatan yang sangat mumudahkan,” tambahnya.

 Toyota RAV4 turut dilengkapi Skrin Paparan Pelbagai Maklumat.
PELBAGAI FUNGSI: Toyota RAV4 turut dilengkapi Skrin Paparan Pelbagai Maklumat.

Melalui generasi ini, RAV4 juga menerima sistem janaan kuasa serba baharu dengan enjin Dynamic Force.

Lebih ringan dan berkuasa, enjin empat-silinder petrol ini datang dengan teknologi-teknologi pembakaran berkelajuan tinggi dan ciri pemasa injap boleh ubah pintar VVT-iE.

Enjin ini mempunyai kecekapan suhu yang terbaik di dunia pada tahap 40 peratus dua kali ganda berbanding kebanyakan enjin pembakaran dalaman yang lain.

 Bahagian belakang Toyota RAV4 generasi kelima.
MENARIK: Bahagian belakang Toyota RAV4 generasi kelima.

Dua kapasiti enjin ditawarkan: 2.5 liter (A25A-FKS) dan 2.0 liter (M20A-FKS). Unit 2.5 liter menghasilkan sehingga 152 kW/207 PS dan 243 Nm tork, manakala unit 2.0 liter menjana 127 kW/123 PS dan 207 Nm tork.

“Ini sangat bersesuaian dengan keadaan jalan dan penggunaan di Malaysia yang melibatkan pecutan dan memperlahankan kenderaan dengan kerap.

“RAV4 serba baharu melengkapi sisi ini dengan pecutan yang responsif dan output tinggi dari enjin,” jelas Akio Takeyama lagi.

Enjin 2.5 liter berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan (Direct Shift 8-AT) sementara enjin 2.0 liter menggunakan transmisi jenis CVT dengan ciri Sequential Shiftmatic.

Bagi kedua-dua transmisi, pemandu boleh memilih mod Eco, Normal dan Sport untuk disesuaikan dengan gaya pemanduan atau persekitaran.

Paddle shifter’ juga disediakan, membolehkan pemandu menukar gear secara manual tanpa mengalihkan tangan dari stereng.

Dari sudut ukuran dimensi, ruang kabin RAV4 serba baharu ini mempunyai kelebaran 1,855 mm dengan jarak antara roda 30 mm lebih panjang sekali gus menyediakan lebih ruang.

Dengan badan yang lebih besar, ruang dalaman kabinnya juga diberikan rekaan baharu sepenuhnya.

Perhatian yang lebih halus diberikan terhadap segenap ruang dan permukaan dengan matlamat untuk menjadikannya lebih mewah, berkualiti dan selesa.

Papan pemuka memuatkan meter Optitron premium yang digunakan pula memberikan paparan jelas dan terang dengan skrin paparan pelbagai maklumat (MID) berwarna dengan saiz tujuh-inci melengkapkan lagi meter gabungan TFT yang boleh juga ditukar antara paparan analog ataupun digital.

 Ruangan dalam Toyota RAV4 baharu.
LUAS: Ruangan dalam Toyota RAV4 baharu.

Sistem infotainmen DVD-AVX tujuh-inci dengan enam pembesar suara padanya mempunyai pelbagai sambungan capaian seperti Mirrorlink, Miracast, AUX, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto (dengan pengenalan rasmi di Malaysia).

Ciri arahan suara juga tersedia bagi kedua-dua varian RAV4 untuk membolehkan kendalian beberapa ciri secara tanpa sentuhan.

Kusyen tempat duduk depan kini lebih tebal dengan sokongan lumdar belakang badan yang diperbesarkan untuk menampung postur duduk yang lebih selesa kepada lebih ramai orang.

Bagi pemandu, larasan lapan arah dan ciri memori memudahkan lagi mereka untuk mendapatkan posisi duduk yang betul yang mana kedua-dua kerusi depan mempunyai sistem pengudaraan untuk lebih selesa.

Penumpang belakang juga menikmati kemas kini yang sama pada tempat duduk, menjadikannya lebih selesa ketika dalam perjalanan.

Bahagian penyandar boleh direbahkan mengikut keselesaan, dengan nisbah lipat 60:40. Pelbagai konfigurasi pula memudahkan lagi pengguna untuk membawa barangan yang berbeza saiz.

Ciri pintu belakang dengan sensor gerak kaki memudahkan pengguna untuk memasukkan barang ke ruang kargo. Hanya perlu gerakkan kaki di bahagian tengah bampar belakang (kunci perlu berada dekat dengan pengguna) dan pintunya akan terbuka secara automatik.

Ruang kargonya juga adalah yang terbaik dalam kelas dengan bahagian pelapik lantainya boleh diterbalikkan untuk pelbagai kegunaan serta boleh dilaraskan ke-tinggian bagi mendapatkan lebih ruang.

Keselesaan juga telah dipertingkatkan bagi RAV4 serba baharu ini. Di ruang dalaman, bahan penebat bunyi dipasangkan pada lantai dan bersepadu dengan kawasan permukaan yang lebih luas.

Ini membantu mengurangkan lagi kebisingan, kekerasan dan gegaran yang dapat dirasakan dari dalam kabin.

Ciri-ciri lain yang ada termasuk sistem pintar tanpa kunci serta lebih banyak slot USB untuk mengecas peran-ti elektronik, termasuk pad pengecas Qi tanpa wayar.

Ruang simpanan tambahan dan ruang meletak cawan juga tersedia. Waktu malam, beberapa ruang ada pencahayaan yang lembut, memberikan kelainan suasana dalam kabin.

Selain dilengkapi sehingga tujuh beg udara SRS, RAV4 serba baharu ini turut menerima sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS).

Ini termasuk ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Melayar Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik.

“Sistem bantuan pemandu TSS sangat berguna untuk keadaan pemanduan di Malaysia, ketika memandu di lebuh raya, sistem amaran pertukaran dan pengesanan lorong akan membantu pemandu untuk kekal di laluan yang sepatutnya.

“Dalam keadaan trafik sesak pula, sistem praperlanggaran akan membantu menghindari pertembungan dengan kereta di hadapan,” jelas Akio Takeyama.

Selain itu, turut melengkapi SUV ini ialah cermin pandang belakang Electro-Chromic yang menghindarkan silau dari kenderaan belakang.

Tidak ketinggalan ialah ciri amaran lintasan trafik di belakang dan peninjau titik buta; kedua-duanya bertujuan untuk memaklumkan pemandu sekiranya ada kenderaan lain berada di titik buta.

Brek parkir elektronik juga memudahkan lagi pemandu, yang turut hadir dengan ciri HOLD untuk digunakan dalam keadaan curam.

Dua perakam video digital yang ada pula sangat berguna untuk merakam situasi dan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku kemalangan, sementara sistem amaran tekanan tayar akan memberi peringatan kepada pemandu sekiranya tekanan angin tayar berkurangan.

Tapak ISOFIX pula ada di bahagian belakang bagi kegunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Selain alat imobilisasi enjin dan sistem penggera, RAV4 serba baharu ini juga lengkap dengan sistem telematik kenderaan.

Sistem ini menggunakan GPS/GSM untuk mengesan dan memudahkan pencarian kereta sekiranya ia dicuri.

“Untuk itu, RAV4 sememangnya layak dikenali sebagai SUV paling laris di dunia. Kami menggesa semua orang untuk cuba memandunya bagi mengalami dan memahami sendiri kelebihan tersebut,” ujar Akio Takeyama.

Pelancaran rasmi hari ini juga disudahi dengan pengedaran risalah jualan yang boleh dimuat turun serta pengenalan bilik pameran maya untuk pandu uji, tempahan dan temu janji dari rumah.

Bilik pameran berkenaan menampilkan tinjauan 360 darjah terhadap barisan produk yang ada, membolehkan pelawat mendekati lagi penawaran serta merasai pengalaman pembelian secara atas talian yang disediakan.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan spesifikasi model di hujung jari sahaja.

Pelancaran secara maya yang pertama kali diadakan awal hari ini masih boleh ditonton di www.rav4my.com.

RAV4 serba baru ini akan berada di semua bilik pameran sah Toyota bermula 18 Jun 2020 dan untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-3333.

Advertisement