Anda di sini

Sebastian tak sabar tunggu PKPP tamat untuk kembali beraksi

Advertisement
 Sebastian ketika melakukan persembahan di atas pentas.
TIRU MACAM ELVIS: Sebastian ketika melakukan persembahan di atas pentas.

SIBU: Warga industri hiburan tempatan tidak terkecuali daripada menerima tempias berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac, Sebastian Elbongo yang merupakan peniru watak  penyanyi Elvis Presley tidak dapat mencari nafkah menerusi bidang nyanyiannya.

Sebelum pandemik Covid-19, Sebastian biasa menyanyi di majlis makan malam dan kelab malam di seluruh negara termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Filipina dan Thailand.

Oleh kerana pusat hiburan dan restoran tidak dibenarkan dibuka semasa PKP, Sebastian hanya menghiburkan diri dengan menyanyi dalam biliknya.

“Selama tiga bulan, saya tidak mengadakan persembahan atas pentas. Sepatutnya, saya menyanyi pada majlis makan malam ulang tahun ke-30 sebuah syarikat di Kuching pada Mei lalu, tetapi dibatalkan. Acara itu terpaksa ditangguhkan dan saya tiada pilihan,” keluhnya.

Bagaimanapun syarikat itu telah menasihatinya untuk bersiap sedia apabila majlis makan malam itu diadakan kemudian.

Sebastian, anak kelahiran Kuching yang kini menetap di Miri, juga tidak mampu untuk membuat persembahan di pusat hiburan di sana atas alasan yang sama.

“Hampir setiap hari Jumaat dan Sabtu sebelum wabak Covid-19, anda boleh melihat saya menyanyikan lagu-lagu Elvis di pusat hiburan di Miri. Tetapi tidak  lagi dalam tempoh ini, “ katanya.

Dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir pada 31 Ogos, Sebastian berharap pusat hiburan dibenarkan dibuka.

“Saya merasa berkarat sekarang setelah tidak aktif selama berbulan-bulan. Saya berharap untuk kembali ke atas pentas ketika dinaikkan atau apabila pusat hiburan dibenarkan beroperasi semula

Sebastian telah menjadi artis peniru Elvis sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.  Sebelum itu dia  pernah bersama kumpulan kugiran tempatan.

Beberapa tahun yang lalu, beliau pernah disenaraikan di kedudukan 10 teratas antara 28 peserta dari sembilan negara dalam pertandingan nyanyian peniru watak Elvis di Manila, Filipina.

“Pada setiap pertunjukan, saya akan mengenakan kostum Elvis buatan khas yang diimport dari Filipina dan Thailand.

“Semasa saya menyanyi di pusat hiburan atau restoran, saya akan membawa peralatan saya sendiri termasuk mikrofon berkualiti tinggi.

“Semasa anda menyamar sebagai Elvis, anda benar-benar memerlukan peralatan yang terbaik.

“Anda juga perlu menyanyi dan bersuara seperti Elvis sekurang-kurangnya 30-40 peratus.

“Anda tidak boleh menyanyi dengan suara anda sendiri atau anda akan menjadi seperti Wang Chin Niang (penyanyi popular pada awal 70-an),” ujarnya.

Peminatnya selalu  mengharapkan Sebastian untuk menyampaikan dua lagu Elvis iaitu ‘The Wonder Of You’, dan ‘She Wear My Ring’ semasa persembahannya.

Sebaik PKPP ditamatkan, Sebastian berharap dapat kembali ke pentas dengan lebih bersemangat untuk menghiburkan para peminatnya.

Advertisement