Anda di sini

Penggiat seni Sabah hasilkan lagu amal COVID-19 versi Kadazan

Advertisement
 Paduan suara lagu amal daripada Anna Stanislaus, Jeffson Jeffrin Sipili, Alice Marius dan Arl Rafy.
DIGITAL: Paduan suara lagu amal daripada Anna Stanislaus, Jeffson Jeffrin Sipili, Alice Marius dan Arl Rafy.

STATISTIK penularan wabak COVID-19 di Malaysia kini menunjukkan penurunan bagi kes baharu dan peningkatan kes sembuh hari demi hari yang membolehkan negara kita melangkah ke fasa Perintah Kawalan Pegerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini sekaligus melonggarkan banyak sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa.

Meskipun terdapat beberapa sektor terjejas ekoran pandemik ini, penduduk di negeri ini khususnya digalakkan untuk membantu sesama sendiri untuk memulihkan semula ekonomi dalaman.

Kelompangan masa yang diperolehi beberapa penggiat seni tempatan iaitu Anna Stanislaus, Jeffson Jeffrin Sipili, Alice Marius dan Arl Rafy bergabung tenaga untuk menghasilkan lagu amal Kadazan bertajuk 'Izo'o Tokou Ginavo' yang bermaksud 'Bersatu Kita Bersama' terinspirasi dari cetusan idea spontan.

Inisiatif mereka untuk menghiburkan peminat tidak terhenti walaupun aktiviti persembahan secara langsung belum mendapat kebenaran namun mereka memanfaatkan platform digital ini untuk berhubung dengan peminat mereka sepanjang menjalani kehidupan harian di rumah.

Ciptaan sepenuhnya oleh Anna Stanislaus, lagu bersifat universal ini mengisahkan tentang keadaan masyarakat yang pada ketika ini berusaha untuk mengekang penularannya tanpa mengira peringkat umur.

Turut diselitkan dalam bait lirik rasa duka-cita dan mengharapkan rakyat negeri ini memanfaatkan masa yang sedia ada dengan aktiviti-aktiviti berfaedah.

Setakat ini tiada penstrukturan perancangan muzik video dan mereka hanya menjalankan promosi lagu di media sosial Facebook, YouTube dan Spotify sahaja.

Pusakag Production selaku penerbit menjelaskan bahawa proses rakaman berlangsung dirumah masing-masing dan disusun menjadi satu melodi yang sempurna.

Mereka juga mengambil peluang untuk mempromosikan lagu di corong-corong radio tempatan termasuk Kupi-Kupi Fm. - Artikel sumbangan Mohd Afis Ismail.

Advertisement