Anda di sini

Kematian Rajput cetuskan semula perdebatan tentang masalah kesihatan mental

Advertisement
 

BINTANG Bollywood menyertai anggota keluarga untuk pengebumian pelakon Sushant Singh Rajput pada Isnin lepas, setelah kematiannya pada usia 34 tahun mengejutkan industri perfileman India dan menyalakan semula perdebatan nasional mengenai kesihatan mental.

Rajput dijumpai mati pada Ahad lepas dalam pangsapurinya di Mumbai, dan polis berkata dia membunuh diri.

Rajput, seorang bintang  filem hit di atas skrin besar dan kecil, mati hanya beberapa hari sahaja selepas kematian mengejut bekas pengurusnya, Disha Salian.

Mereka yang menghadiri pengebumian termasuk Shraddha Kapoor, yang berlakon bersama Rajput dalam filem keluaran terbaharunya, ‘Chhichhore’, yang menangani tekanan masyarakat dan kesihatan mental.

Pelakon lain, termasuk aktres Kriti Sanon dan penerbit Ekta Kapoor, menyertai keluarga Rajput dalam hujan monsun yang lebat untuk memberi penghormatan terakhir ketika mayatnya dibakar menurut upacara Hindu.

Kematian pelakon muda itu mencetuskan perbincangan yang emosional dalam media sosial tentang kesihatan mental, dan bintang termasuk Deepika Padukone dan Anushka Sharma menulis mesej tentang kepentingan mendapatkan bantuan.

Padukone, yang pernah berkongsi tentang masalahnya dengan kemurungan, menciap dengan hashtag #YouAreNotAlone.

“Sebagai seseorang yang pernah mengalami penyakit mental, saya tidak dapat menekankan secukupnya tentang kepentingan untuk ber-hubung,” ciap Padukone.

“Bercakap. Berkomunikasi. Bersuara. Dapatkan bantuan. Ingat, anda tidak bersendirian. Kita sama-sama dalam keadaan ini. Dan paling penting sekali, harapan sentiasa ada.”

Sharma, aktres yang juga isteri kapten pasukan kriket negara India, Virat Kohli, turut menciap ucapan takziah.

Dia juga pernah bercakap secara terbuka tentang masalah dengan kerisauan.

“Sushant, anda terlalu muda dan pintar untuk meninggal begitu awal. Saya begitu sedih dan marah kerana menyedari bahawa kita hidup dalam persekitaran yang tidak dapat membantu anda menempuh sebarang masalah yang anda mungkin alami.”

Dilahirkan di negeri timur Bihar, Rajput berhenti daripada pengajian kejuruteraan untuk menceburi karier dalam bidang lakonan dan tarian.

Dia mendapat peluang besarnya pada 2013 dengan ‘Kai Po Che’, sebuah filem mengenai kriket, cinta dan politik yang menerima sanjungan di Festival Filem Berlin.

Dia dipuji kerana lakonannya sebagai wira kriket India, Mahendra Singh Dhoni, dalam filem hit ‘M S Dhoni: The Untold Story’ pada 2016.

Dia memberitahu AFP tentang pelbagai perasaan yang dia alami ketika membuat penggambaran bagi filem tersebut, yang turut menunjukkan kesedihan yang dialami oleh bekas kapten itu apabila bekas teman wanitanya meninggal dunia.

“Ia sangat sukar kerana, selepas kami membuat persediaan, dalam kepala saya, saya adalah dia dan segalanya yang berlaku sebenarnya menjejaskan saya,” katanya.

Filemnya yang terkini adalah komedi-drama ‘Chhichhore’, dan filem aksi ‘Drive’ – kedua-duanya dikeluarkan pada tahun lepas.

Dia telah bekerja dalam beberapa projek, termasuk pembikinan semula dalam bahasa Hindi bagi filem percintaan Hollywood ‘The Fault in Our Stars’, bertajuk ‘Dil Bechara’ (‘Poor Heart’).

Bollywood masih berusaha untuk menerima kehilangan dua bintang masyhur, Irrfan Khan dan Rishi Kapoor, yang meninggal dunia pada April lalu selepas mengalami penyakit yang lama. — AFP