Anda di sini

Anugerah Oscar ditangguh dua bulan berikutan pandemik

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 24 Februari 2008 ini menunjukkan gambaran umum Anugerah Akademi ke-80 yang diadakan di  Kodak Theatre, Hollywood.  — Gambar AFP
PENUH: Gambar fail yang diambil pada 24 Februari 2008 ini menunjukkan gambaran umum Anugerah Akademi ke-80 yang diadakan di Kodak Theatre, Hollywood. — Gambar AFP

MAJLIS Anugerah Oscar pada tahun depan telah ditunda selama lapan minggu sehingga 25 April selepas pandemik koronavirus menutup pawagam dan menghuru-harakan kalendar keluaran Hollywood, kata akademi berkenaan pada Isnin lepas.

Dengan banyak filem ‘blockbuster’ studio dan filem ‘arthouse’ bebas yang terpaksa menangguhkan tarikh keluaran mereka sehingga pawagam dibuka semula, tarikh potong bagi filem yang layak untuk anugerah Oscar juga sudah dilanjutkan selama dua bulan, sehingga akhir Februari.

“Harapan kita, dengan melanjutkan tempoh kelayakan dan tarikh Anugerah kita, adalah untuk memberi kelonggaran yang diperlukan oleh pembuat filem untuk menyiapkan dan mengeluarkan filem mereka tanpa dihukum bagi sesuatu yang tidak dapat dikawal oleh sesiapa,” kata presiden akademi David Rubin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dawn Hudson dalam satu kenyataan.

Malam terbesar dalam industri perfileman pada asalnya dijadualkan pada 28 Februari 2021.

Tindakan pada Isnin lepas didorong oleh kebimbangan bahawa pencalonan yang merangkumi hanya filem yang dikeluarkan pada 2020 tidak akan seluas atau sama kompetitif seperti pada tahun-tahun lalu.

Kebanyakan pawagam di Amerika Syarikat (AS) masih ditutup, dan penerbitan filem sudah terhenti, dengan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai gelombang kedua kes-kes COVID-19.

Penerbitan yang perlahan-lahan bersambung semula dalam masa beberapa minggu akan datang apabila sekatan pergerakan dilonggarkan kini ada dua bulan tambahan untuk siap tanpa perlu mengorbankan harapan mereka untuk memenangi anugerah Oscar.

Penangguhan itu turut merangsang harapan bahawa Anugerah Akademi Ke-93 dapat terus menjadi majlis secara langsung yang penuh dengan bintang, dan tidak perlu beralih kepada persembahan “maya”.

“Kita mendapati diri dalam keadaan yang tidak pernah dialami pada tahun ini dan akan terus bekerja bersama rakan kita di akademi untuk memastikan majlis pada tahun depan adalah acara yang selamat dan gembira,” kata Karey Burke, selaku presiden ABC Entertainment, yang akan menyiarkan majlis itu di AS.

Majlis Anugerah Oscar pernah ditunda dahulu – selepas Los Angeles mengalami banjir pada 1938, pembunuhan Martin Luther King Jr pada 1968 dan serangan tembakan ke atas Presiden Ronald Reagan pada 1981 – tetapi tidak pernah lebih daripada seminggu.

Akademi – yang dilihat sebagai badan tertinggi dalam industri perfileman Hollywood – sudah melonggarkan beberapa peraturan kelayakan pada April lalu, untuk membolehkan filem yang melangkaui skrin besar dan muncul di atas platform penstriman untuk bertanding bagi anugerah Oscar pada tahun ini.

- ‘Masa paling gelap’ -

Majlis Anugerah Oscar merupakan finale akhir bagi musim anugerah perfileman yang bermula dengan Anugerah Golden Globes pada awal Januari.

Sejurus selepas pengumuman akademi, BAFTA di Britain – yang biasanya berlangsung sejurus sebelum Anugerah Oscar – turut ditunda ke tarikh baharu 11 April.

Perubahan itu “mengakui impak pandemik global dan menampung tempoh kelayakan yang dilanjutkan”, BAFTA menyebut dalam satu kenyataan kepada AFP.

Majlis anugerah perfileman lain dijangka akan mengumumkan penangguhan yang sama.

Acara akademi termasuk Anugerah Gabenor – di mana anugerah kehormat Oscar disampaikan kepada veteran industri – dan satu upacara untuk saintifik dan teknikal turut ditunda.

Academy Museum of Motion Pictures, yang sudah sekian lama ditangguhkan selepas ia dijadual dibuka di Los Angeles pada Disember tahun ini, kini akan dibuka pada April tahun depan.

“Selama lebih seabad, filem telah memainkan peranan penting untuk menenangkan, memberi inspirasi, dan menghiburkan kita pada waktu paling gelap. Ia ternyata telah berbuat demikian pada tahun ini,” kenyataan akademi menyebut.

Ia menambah: “Majlis Anugerah Oscar akan datang ini dan pembukaan muzium baharu kita akan menandakan saat bersejarah, menghimpunkan peminat filem di seluruh dunia untuk bersatu menerusi perfileman.”

Sementara itu, upacara Anugerah Primetime Emmy bagi dunia televisyen masih dijadualkan berlangsung pada September, dan perbincangan mengenai format masih diadakan.

Akademi Televisyen berkata pada Isnin lepas bahawa Anugerah Emmy Kesenian Kreatif – puluhan anugerah teknikal, biasanya disampaikan pada hujung minggu sebelum majlis utama Anugerah Emmy – akan digantikan dengan satu “acara maya”. — AFP

Advertisement