Anda di sini

Spike Lee jadikan rasisme topik utama dalam ‘Da 5 Bloods’

Advertisement
 

DENGAN protes menentang rasisme yang melanda Amerika Syarikat (AS), dua buah filem baharu arahan Spike Lee meletakkan keganasan kontemporari terhadap warga Afrika-Amerika dalam konteks sejarah modennya, mengimbau jauh ke masa Perang Vietnam lalu.

‘Da 5 Bloods’, yang keluar pada Jumaat lepas di saluran Netflix, menceritakan tentang sekumpulan askar hitam fiksyen yang menggadai nyawa di Vietnam pada waktu protes hak sivil dan rusuhan kaum meletus di bandar-bandar asal mereka pada hujung zaman 1960an.

Filem itu mengga-bungkan kisah mereka dengan rakaman arkib bagi penunjuk perasaan anti-perang yang ditembak oleh Pasukan Pengawal Negara, rusuhan bandar yang berdarah serta ucapan oleh pemimpin ‘Black Power’ (Kuasa Kulit Hitam) yang ikonik seperti Malcolm X dan Angela Davis.

Pengeluarannya menyusuli demonstrasi besar-besaran selama dua minggu berhubung kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang digari dan mati dalam tahanan di Minneapolis pada 25 Mei lalu, selain kritikan mengenai kepolisan yang kasar ke atas protes.

“Sejarah berulang,” kata Lee tentang mesej filem itu, dalam nota yang dihantar kepada media.

“Dan kita dapat belajar dari sejarah – jika kita bangun.”

‘Da 5 Bloods’ melompat di antara pengalaman zaman perang empat askar Afrika-Amerika yang kehilangan pemimpin mereka dalam konflik di negara terpencil, dan kepulangan mereka pada hari ini ke Vietnam untuk membawa balik mayatnya.

Semasa peperangan itu, “darah” digunapakai sebagai satu istilah persaudaraan di antara askar-askar Afrika-Amerika.

Satu imbasan balik menggambarkan waktu askar-askar tersebut dimaklumkan mengenai pembunuhan Martin Luther King pada 1968 oleh seorang lelaki bersenjata berkulit putih – satu peristiwa yang mencetuskan protes yang ganas di seluruh AS, dan menyemai perpecahan kaum di kalangan anggota tentera di Vietnam.

Dalam peperangan itu sendiri, sejumlah besar askar kulit hitam AS yang tidak seimbang telah dihantar untuk berjuang – dan terkorban.

Warga Afrika-Amerika merangkumi kira-kira 11 peratus daripada populasi awam, tetapi pada 1965, mereka merupakan hampir sesuku daripada semua mangsa yang terkorban dan pertempuran di Vietnam.

Walaupun demikian, mereka selama ini tidak menjadi tumpuan dalam filem Perang Vietnam yang klasik seperti ‘Apocalypse Now’, ‘Full Metal Jacket’ dan ‘Casualties of War’.

“Saya tidak mahu menunjukkan sikap tidak hormat kepada mana-mana filem yang pernah dibuat sebelum ini mengenai Perang Vietnam, tetapi kami mahu membuat ini menerusi perspektif askar kulit hitam,” kata Lee.

Dia menambah: “Kami tahu kami tidak melihat saudara-saudara seperti ini dalam filem Vietnam selama ini.”

- ‘3 Brothers’ -

Walaupun masa bagi filem itu selepas protes Floyd adalah kebetulan, ia merupakan tema yang kerap disajikan semula oleh Lee – terakhir dalam sebuah filem pendek berasingan bertajuk ‘3 Brothers’ pada bulan lepas, yang bermula dengan sekeping kad tajuk yang menyebut: “Adakah sejarah akan berhenti berulang?”

Filem itu memban-dingkan rakaman bagi kematian Floyd dengan kematian Eric Garner – yang mati dalam tahanan polis di Pulau Staten pada 2014 – dan pembunuhan sama watak fiksyen Radio Raheem dalam filem Lee pada 1989 ‘Do The Right Thing’.

“Bagaimanakah orang tidak dapat memahami kenapa orang bertindak balas dengan cara begitu?” kata Lee ketika memperkenalkan ‘3 Brothers’ kepada CNN.

“Ini adalah sejarah yang berulang dan berulang dan berulang.”

Dia menambah: “Kita menyaksikannya dengan rusuhan pada zaman 1960an, dengan pembunuhan Dr King. Orang bosan, dan orang letih dengan pengaiban, pembunuhan orang kulit hitam.”

“Sekarang kita ada kamera. Tetapi serangan ke atas orang kulit hitam sudah berada di sini dari mula lagi,” kata Lee dalam kesimpulannya. — AFP

Advertisement