Anda di sini

‘Kesan Cinta’ hadiah Syareem kepada peminat Bumi Kenyalang

Advertisement
 

KUCHING: Pendatang baru dalam dunia hiburan tempatan, Syareem Effendy membuktikan usia bukanlah penghalang untuk mencapai cita-cita sebagai penghibur.

Pada usia awal 40an, penyanyi mesra dengan panggilan Syareem itu akhirnya muncul dengan single pertamanya berjudul ‘Kesan Cinta’.

Dalam temubual eksklusif baru-baru ini, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu menjelaskan kesibukan tugas harian sebagai pegawai bank menyebabkan penghasilan single pertamanya itu tertangguh lama.

“Alhamdullillah, setelah sekian lama menunggu, impian saya untuk menghasilkan single pertama akhirnya tercapai menerusi lagu ‘Kesan Cinta’.

“‘Kesan Cinta’ dicipta oleh penyanyi dan komposer terkenal tempatan, Ir Radzi manakala liriknya ditulis oleh saya sendiri. Ia dirakam di studio Oohhaa Music Sdn Bhd pada bulan lepas.

“Saya harap peminat tempatan di sini dan Semenanjung dapat menerima lagu ini dengan baik,” katanya.

Menurut penyanyi yang tidak lokek dengan senyuman itu, beliau tidak mahu menggunakan populariti Ir Radzi yang juga sepupunya sebagai batu loncatan untuk berjaya dalam dunia hiburan tempatan.

Sebaliknya, finalis Idola Bandaraya Seluruh Sarawak pada 2011 itu percaya dengan bakat pada dirinya untuk pergi dengan lebih jauh.

Penglibatannya dalam dunia hiburan bermula sejak 1992 dengan menyertai SSB Event Management dalam beberapa program dianjurkan di sekitar Kuching dan Samarahan.

Di awal pembabitannya, beliau banyak mengikuti program anjuran JKKN Negeri Sarawak, program tempatan di bawah pihak Bandaraya termasuk persembahan Sehati Sejiwa.

Malah, beliau juga pernah mewakili bank cawangan Sarawak dalam pertandingan nyanyian secara solo di peringkat kebangsaan.

“Saya tidak berhasrat untuk menjadi pesaing kepada penyanyi tempatan lain…sebaliknya saya mahu bersama memeriahkan lagi karya-karya seni tanah air khususnya di Sarawak.

“Saya juga ingin mengajak para pencinta seni tak kira usia serta memberi inspirasi kepada bakat-bakat yang lama terpendam tampil ke depan dengan idea-idea baru dalam era digital dalam penghasilan sesebuah lagu mengikut konsep.

“Impian utama saya untuk membawa generasi menjadikan muzik bukan sekadar hiburan tetapi mempelbagaikan cabang kemahiran yang membawa hala tuju,” katanya.

Mengenai single ‘Kesan Cinta’, Syareem menjelaskan lagu tersebut berkonsepkan pop rock yang berentak santai dan senang didengari semua.

Beliau akui banyak menerima pengaruh dari Zamani Slam, Faizal Tahir, Aizat Amdan dan beberapa penyanyi luar negara.

“Anda boleh melayari di Youtube, Spotify, Deezer, Apple Music dan KKBOX untuk mendengar lagu ‘Kesan Cinta’.

“Peminat yang berhasrat untuk berhubung dengan saya boleh melakukannya di media sosial FB Syareem Effendy atau Instagram syareem_effendy,” katanya menutup temubual.

Advertisement