Anda di sini

KOPERKASA koperasi terbaik Sarawak, ke-16 di Malaysia

Advertisement
 Mohammad (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Fathi (tiga kiri) selepas selesai sidang media semalam.
PENGHARGAAN: Mohammad (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Fathi (tiga kiri) selepas selesai sidang media semalam.

KUCHING: Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (KOPERKASA) menjadi contoh sebagai koperasi terbaik di seluruh Sarawak dengan kedudukan ke-16 daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Mohammad Mentek menambah, tidak mustahil bagi KOPERKASA untuk berada di kedudukan 10 teratas dalam tempoh tiga hingga lima tahun mendatang.

“KOPERKASA berada pada kedudukan pertama di Sarawak dan nombor 16 daripada 100 koperasi terbaik dengan jumlah keseluruhan 14,624 ahli koperasi di seluruh Malaysia.

“Koperasi ini memberi pencarum faedah dividen yang sangat baik, mempunyai modal perniagaan dan berupaya memberi pinjaman Ar-Rahnu sekiranya pencarum mengalami kekangan kewangan,” katanya semalam pada sidang media sempena lawatan pertamanya ke negeri ini selepas menyandang jawatan berkenaan baru-baru ini.

Beliau turut memuji usaha kerajaan negeri membantu KOPERKASA menjana lebih banyak pendapatan dengan pemberian tanah miliknya bagi dibangun dan diuruskan dan seterusnya memberi manfaat kepada pencarum.

Justeru, sejajar dengan pelaksanaan pelan transformasi koperasi menerusi kementeriannya, penjawat awam kata Mohammad, digalak mendapatkan keahlian dalam koperasi.

Beliau juga mahu lebih banyak koperasi ditubuhkan di negeri ini dan tidak dapat dinafikan terdapat koperasi di seluruh negara yang tidak berupaya bertahan.

“Sarawak mempunyai 1,077 koperasi dan 125 daripadanya telah gulung tikar.

“Sementara itu, 60 peratus koperasi di seluruh negara pula, tidak lagi aktif dan lebih 1,000 koperasi di Malaysia tidak menjalankan operasi setakat ini.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga telah diminta membuat operasi pemutihan koperasi yang tidak aktif atau bermasalah,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Pengerusi KOPERKASA Fathi Hambali berkata pencarum diberikan faedah dividen sebanyak 7 peratus bagi tahun 2019 dan pembayaran dijalankan secara dalam talian menerusi akaun bank pencarum yang telah dimulakan sejak minggu lepas.

Sarawak kini juga mempunyai tujuh ibu pejabat KOPERKASA yang beroperasi di seluruh negeri.

  • oleh
  • Advertisement