Anda di sini

Eksekutif muzik berkulit hitam UK gesa industri tangani ketidakadilan kaum

Advertisement

SEKUMPULAN eksekutif muzik kanan berkulit hitam di Britain telah menggesa industri mereka untuk mengguna-pakai lima “seruan segera untuk bertindak” sebagai sebahagian daripada respons kepada kematian George Floyd.

Eksekutif dari syarikat besar termasuk Warner, Sony, Universal, Live Nation dan Spotify mahu istilah “muzik bandar” digantikan dengan “muzik hitam”, selain tuntutan lain yang dikeluarkan baru-baru ini.

Pertubuhan di sebalik anugerah Grammy itu pada minggu lepas mengumumkan beberapa perubahan kepada nama kategori, termasuk mengubah “kontemporari bandar” kepada “R&B progresif”.

Dalam surat mereka yang ditujukan kepada pemimpin industri, eksekutif British turut menuntut latihan “berat sebelah tanpa disedari” yang mandatori bagi kakitangan bukan hitam, selain langkah lain untuk membantu pekerja hitam membangunkan karier mereka.

Surat itu menggesa ketua bisnes muzik mewujudkan bajet tahunan untuk menyokong organisasi hitam, projek pendidikan dan badan kebajikan dari segi kewangan.

“Industri muzik sudah sekian lama mengaut keuntungan daripada budaya orang hitam yang kaya dan pelbagai selama bergenerasi,” kata kumpulan itu, yang menambah ia juga merupakan “mikrokosme” bagi ketidakadilan kaum dalam masyarakat.

“Namun pada keseluruhannya, kami merasakan bahawa ia telah gagal untuk mengakui rasisme sistematik dan berstruktur yang menjejaskan masyarakat hitam yang sama dan dengan begitu berkesan sekali, menikmati ‘rhythm’ dan tidak mempedulikan ‘blues’.”

Kumpulan eksekutif itu – yang turut merangkumi ‘Music Managers Forum’ selain dua kumpulan pendesak yang baharu ditubuhkan ‘The Black Music Coalition’ dan ‘The Show Must Be Paused UK’ – menambah “masa bagi perubahan adalah sekarang”.

“Kita tidak boleh terus menikmati manfaat dan keuntungan, dan pada waktu yang sama tidak mempedulikan isu masyarakat dari mana kita menikmati begitu banyak manfaat dan keuntungan, isu-isu yang menjejaskan terlalu ramai artis kita dalam satu sudut atau sudut lain.”

Tuntutan itu menyusuli pemberhentian urusan oleh label industri muzik besar selama sehari pada minggu lepas – di bawah panji “Black Out Tuesday” – dalam solidariti dengan penunjuk perasaan anti-rasis yang menuntut perubahan struktur dalam masyarakat dan penamatan kekejaman polis.

Langkah itu, yang dipromosikan menerusi hashtag #TheShow MustBe Paused, diambil ketika protes besar-besaran di Amerika Syarikat berhubung pembunuhan lelaki hitam tanpa senjata George Floyd di tangan polis di Minneapolis menular ke seluruh dunia. — AFP

Advertisement