Anda di sini

AirAsia sasar tambah penerbangan menjelang bulan depan 

Advertisement
Kiandee (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun (tengah) dan Tony pada Pelancaran OURFARM di Jabatan Pertanian Serdang hari ini. - Gambar Bernama 
Kiandee (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun (tengah) dan Tony pada Pelancaran OURFARM di Jabatan Pertanian Serdang hari ini. - Gambar Bernama 

SERDANG: AirAsia Group Bhd yang telah mencecah kapasiti tempat duduk penuh pada masa ini, berhasrat untuk menambah jumlah penerbangannya menjelang bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata ini susulan peningkatan permintaan bagi perjalanan udara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan perjalanan rentas negeri.

"Bagi aspek kekerapan pula akan bergantung kepada permintaan. Orang ramai mahu menaiki pesawat, ada yang mahu pulang ke rumah dan ada yang mahu menyambung perniagaan masing-masing.

"Pada masa ini ia membabitkan dalam negara tetapi kita yakin kebenaran untuk perjalanan ke luar negara akan dibenarkan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melancarkan platform e-dagang perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) terbaharu AirAsia, OURFARM.

Usaha yang dihasilkan menerusi kerjasama strategik dengan kementerian itu, juga sejajar dengan agenda Pelan Hala tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan bagi membantu perniagaan sedia ada memperluaskan akses pasaran tempatan.

Langkah itu akan menyokong lebih 1,000 peladang kontrak kerajaan selain pemilik ladang persendirian.

Platform terbabit memanfaatkan keseluruhan ekosistem AirAsia yang merangkumi kargo, logistik dan kemudahan pembayaran berserta pangkalan data perniagaan dan penggunanya.

Ia antara lain menawarkan petani kos muatan dalam pesawat pada kadar sifar serta peluang untuk mengikuti latihan bagi pendigitalan perniagaan berserta kursus e-dagang oleh RedBeat Academy. - Bernama 

Advertisement