Anda di sini

Bersara ketika di atas puncak kejayaan

Advertisement
 Gambar terbaharu Samad Lawi bersama medal dan piala yang dimenengi sepanjang bergelar atlet bina badan.
SAMAD LAWI: Gambar terbaharu Samad Lawi bersama medal dan piala yang dimenangi sepanjang bergelar atlet bina badan.

Dari sukan bina badan, Samad Lawi kini ceburi bidang perniagaan


NAMANYA pernah sebaris dengan beberapa nama-nama besar sukan  bina badan di negeri Sabah dan Malaysia suatu ketika dahulu.

Bergelar Mr. Malaysia 2005 dalam kategori Middle Weight, dan Mr. Malaysia 2007 kategori Light Middle, menjulang kejuaraan Mr. Sabah 2007 dalam kategori Light Middle, nama Abdul Samad Lawi gah terpahat dalam sukan bina badan pada ketika itu.

 Aksi Samad Lawi pada Kejohanan Mr. Sabah 2007 kategori Light Middle yang mengangkat beliau sebagai Mr Sabah 2007.
SASA: Aksi Samad Lawi pada Kejohanan Mr. Sabah 2007 kategori Light Middle yang mengangkat beliau sebagai Mr Sabah 2007.

Namun ketika namanya memuncak naik, Abdul Samad Lawi tiba-tiba memasang tekad untuk bersara daripada arena bina badan ini.

"Gelaran Mr. Sabah 2007 ini adalah kejohanan terakhir yang saya pegang hingga ke hari ini sebelum saya bersara," katanya berkongsi kenangan indah itu ketika ditemui di Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru baru-baru ini.

Dilahirkan pada tahun 1966 di Kampung Baringin, Beaufort, Abdul Samad atau lebih dikenali oleh rakan-rakan sebagai Samad Lawi mula berkecimpung dalam sukan bina badan pada usia 26 tahun sekitar tahun 1992. 

Anak ke-5 dari 11 orang adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Gadong, Beaufort (1973-1978), dan sekolah menengah di (SMK) Gadong, Beaufort (1979-1983) kemudian melanjutkan pengajian ke Sabah Commercial College Kota Kinabalu.

 Menerima piala daripada mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Iliyas Ibrahim selepas menjuarai Mr. Sabah 2007.
JUARA: Menerima piala daripada mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Iliyas Ibrahim selepas menjuarai Mr. Sabah 2007.

Setelah tamat sekolah, beliau telah bekerja di Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah.

Mendirikan rumah tangga pada 1989 bersama isteri tersayang, Zalifah Abdullah Moningo, seorang gadis dari Tambunan dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu seorang putera dan dua puteri.

Menceritakan penglibatan beliau dalam arena sukan bina badan, menurut Samad, keluarga dan Allahyarham ayahnya merupakan orang kuat dan penyokong utamanya di sebalik kesungguhan dalam menyertai beberapa kejohanan bina badan baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

"Apa yang membuat saya terjun dalam bidang sukan bina badan ini adalah atas kemahuan diri saya sendiri. Dan apabila sudah mula terbuka hati untuk bertanding, saya telah mula mencari jurulatih yang pakar dalam sukan bina badan dan individu pertama yang membimbing dan melatih saya adalah bekas juara Asia iaitu Justin Sompong.

"Saya juga medapat tunjuk ajar daripada dua bekas juara Mr Malaysia iaitu Geinod Lozitin dan Conrad Tsen dan sama-sama berlatih dengan rakan atlet bina badan yang lain.

Menurut Samad, selepas dua tahun berlatih, beliau telah menyertai Kejohanan Mr Sabah dalam kategori Middle 80kg ke atas di mana pada penyertaan pertama ini beliau telah berjaya merangkul gelaran naib juara dalam kategori berkenaan.

Dari kejayaan menyandang  naib juara ini telah menyuntik semangat beliau untuk terus menyertai kejohanan seterusnya di negeri ini.

 Aksi ketika menjuarai Mr. Malaysia 2005 kategori Middle Weight yang berlangsung di Dewan Suarah, Miri Sarawak.
MENARIK: Aksi ketika menjuarai Mr. Malaysia 2005 kategori Middle Weight yang berlangsung di Dewan Suarah, Miri Sarawak.

Pada tahun berikutnya Samad Lawi terus menempah nama dengan merangkul gelaran naib juara kategori Middle 80kg ke atas pada Kejohanan Mr Sabah 1993 di Kompleks Sukan Likas.

"Sebenarnya banyak kejohanan bina badan yang saya sertai di peringkat negeri..namun saya tidak berapa ingat kejohanan-kejohanan berkenaan kerana ianya sudah lama berlalu," jelas Samad.

Menceritakan penyertaannya dalam kejohanan bina badan peringkat kebangsaan katanya, dia mula mewakili negeri Sabah pada tahun 1997 hingga 2007.

 Bersama sahabat yang sama-sama mempelajari ilmu agama di Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru.
BERSAMA SAHABAT: Bersama sahabat yang sama-sama mempelajari ilmu agama di Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru.

Katanya, kali pertama beliau membawa cabaran negeri Sabah adalah pada Kejohanan Mr. Malaysia 1997 di Petaling Jaya, Selangor dalam kategori Light Heavy 85kg ke atas dan menduduki tempat ketiga. 

"Pada masa ini saya turut berkongsi pentas dengan beberapa nama-nama besar sukan bina badan negara antaranya Malek Noor dan Zetri Munir yang bertanding dalam kategori berbeza.

"Mereka adalah idola saya. Terutamanya Malek Noor yang mempunyai tubuh badan yang menarik dari atas hingga ke bawah. Bertanding bersama mereka di atas satu pentas yang sama walaupun dalam kategori yang berbebeza adalah sesuatu yang sungguh manis bagi saya," jelas Samad.

" Pada 2005 saya telah menempah kejayaan apabila menjuarai Mr. Malaysia 2005 dalam kategori Middle Weight yang berlangsung di Dewan Suarah, Miri Sarawak. Dan kejayaan itu berulang lagi pada 2007 pada Kejohanan Mr. Malaysia 2007 di Miri, Sarawak dalam kategori Light Middle peringkat saringan.

 Bersama pasukan Norman Gym ketika mewakili negeri Sabah dan Malaysia pada Kejohanan Tarik Tali Seborneo di Negara Brunei Darussalam.
WAKIL MALAYSIA: Bersama pasukan Norman Gym ketika mewakili negeri Sabah dan Malaysia pada Kejohanan Tarik Tali Seborneo di Negara Brunei Darussalam.

"Saat ini merupakan antara kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila," katanya.

Menurut Samad, sukan bina badan ini memerlukan pengorbanan yang tinggi, dan belanja yang agak besar.

"Bila kita mula bergiat aktif dalam sukan bina badan ini seharusnya kewangan perlu banyak, sebab kalau kita training hari-hari kita perlu makanan yang berzat. Tidak boleh bantai saja.. Itulah sebabnya bila kita mahu  bergiat aktif dalam sukan ini, kita kena fikir kewangan kita dulu," jelas Samad.

 Samad Lawi (kiri) berkongsi pengalaman beliau bersama penulis.
KONGSI: Samad Lawi (kiri) berkongsi pengalaman beliau bersama penulis.

Menurut Samad, untuk menjaga badan terus jadi sasa, ialah selalulah ke gym untuk workout sekurang kurangnya 3 atau 4 kali seminggu.

"Pemilihan makanan yang sesuai adalah petua untuk terus tegap dan sasa. Sangat penting dalam sukan bina badan ini adalah kawal pemakanan berminyak dan tinggi gula. Seharusnya makanlah maknan yang direbus, grill atau bakar di samping pengambilan supplement vitamin.

"Saya mengambil vitamin untuk menjaga kesihatan otot, urat dan kulit badan," jelasnya.

Katanya, rakan atlet bina badan yang sama-sama berlatih antaranya Geinod Lozitin, Ben Bugay, Yong Chee Ken, Kasmin Tiongson, William Amro, Mark Allan Magindol dan ramai lagi di mana biasanya mereka berlatih di Kompleks Sukan Likas dan Kompleks Sukan Penampang.

"Sepanjang tempoh 15 tahun (1992-2007) banyak pengalaman pahit dan manis yang saya tempuhi. 

"Bermula dengan minat, sehinggalah dapat menjulang kejuaraan terakhir iaitu Mr. Sabah 2007, terlalu banyak pengalaman suka duka yang saya lalui bersama rakan atlet bina badan yang mana akan dijadikan panduan dan pengajaran.

 Antara koleksi medal yang diperolehi pada kejohanan-kejohanan yang disertai.
BUKTI: Antara koleksi medal yang diperolehi pada kejohanan-kejohanan yang disertai.

"Saya bersara ketika saya berada di atas puncak, dan saya bukan tewas. Kejuaraan Mr. Sabah yang dipegang pada tahun 2007 itu adalah tanda mata yang sangat berharga sepanjang karier saya dalam bidang sukan bina badan ini, selain gelaran Mr. Malaysia 2005 dan 2007.

Selain sukan bina badan Samad Lawi juga merupakan antara orang kuat pasukan tarik tali Norman Gym dari tahun 2002 sehingga 2013 dan pasukan tarik tali ini merupakan antara pasukan tarik tali terkuat dan sandaran negeri Sabah untuk bertanding di peringkat kebangsaan dan di luar negara.

Beliau merakamkan jutaan terimakasih kepada semua individu yang telah membimbingnya dalam arena sukan bina badan ini termasuk Persatuan Bina Badan Sabah dan Pasukan Norman Gym dan kepada Unit Sukan Universiti Malaysia Sabah yang telah banyak membantunya.

 Antara piala kejuaraan sepanjang menyertai kejohanan Mr. Sabah dan Mr. Malaysia.
KOLEKSI: Antara piala kejuaraan sepanjang menyertai kejohanan Mr. Sabah dan Mr. Malaysia.

"Nasihat saya kepada yang mahu berkecimpung dalam sukan bina badan ini adalah, tanamkan dalam diri mahu buat betul-betul bukan saja-saja. Sebab sukan bina badan ini memerlukan wang yang besar, masa dan tenaga.

"Kalau sekadar mahu suka-suka, baik lupakan hasrat dan jangan buang masa. Kena ada jurulatih yang bagus yang boleh bercakap 'face to face' dengan kita.

"Kenali bentuk tubuh badan anda sebab apa, kita manusia berlainan bentuk tubuh badan. Pemakanan diet tidak sama. Jangan bergantung pada training luar negara melalui Youtube sebab orang Asia dengan orang putih lain bentuk tubuh dan rangkanya.

"Dan yang penting, jangan bodoh sombong dalam segala hal," nasihatnya.

Sesuai dengan bakat dan pengalaman yang ada padanya, selepas bersara Samad Lawi kini menumpukan perhatian dalam bisnes gym dan menjual peralatan gym.

"Sudah sampai masanya juga saya menumpukan perhatian dalam soal-soal keagamaan dan di samping mengurus perniagaan secara kecil-kecilan," katanya.

Katanya, beliau kini dalam usaha untuk membuka sebuah kedai peralatan gym di samping menjual supplement vitamin untuk kesihatan di sekitar Kota Kinabalu.

"Saya berharap perkongsian ini akan memberikan panduan dan manfaat kepada para belia di negeri ini," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement