Anda di sini

Masjid di Sarawak menerima kehadiran jemaah Solat Jumaat hari ini

Advertisement

KUCHING: Masyarakat Islam kini kembali menunaikan Solat Jumaat berjemaah di masjid dan surau di seluruh Sarawak buat pertama kalinya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas 12 minggu tidak dibenarkan berikutan penularan pandemik COVID-19. 

Namun, jumlah jemaah yang kini dibuka untuk orang awam dihadkan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) pada Isnin lalu. 

Tinjauan Utusan Borneo di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya hari ini, orang awam yang terdiri dari kalangan masyarakat Islam perlu mendaftarkan diri dalam talian di laman sesawang Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), https://www.lakmns.org.my/ms/. 

Menurut Ketua Bahagian Masjid Jamek Negeri Sarawak Aizat Morshidi, jemaah yang telah mendaftarkan diri dalam talian akan menerima kod QR. 

"Kod QR ini bagi pengesahan jemaah yang telah berdaftar yang akan diperiksa oleh pegawal keselamatan sebelum dibenarkan masuk ke masjid selain pemeriksaan suhu badan," katanya ketika ditemui di pintu masuk Masjid Jamek, di sini hari ini. 

Aizat bersama pengawal masjid memeriksa kod QR jemaah yang hadir sebelum dibenarkan masuk.
Aizat bersama pengawal masjid memeriksa kod QR jemaah yang hadir sebelum dibenarkan masuk.

Sehubungan itu, beliau memberitahu masyarakat Islam yang berhasrat untuk menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek dinasihatkan mendaftarkan diri terlebih dahulu selain mematuhi SOP ketika hadir di masjid.

Dalam pada itu, Aizat menjelaskan untuk Solat Jumaat jumlah jemaah dihadkan kepada 100 orang, tidak termasuk Imam, Bilal dan Merbot. 

Pada masa sama beliau berkata para jemaah yang telah mendaftarkan diri untuk Solat Jumaat diminta hadir lebih awal iaitu satu jam atau 11.30 pagi sebelum masuk waktu. 

"Untuk solat lima waktu pula, jumlah jemaah dihadkan kepada 40 orang juga tidak termasuk Imam, Bilal dan Merbot. 

"Kita juga sentiasa menjalankan pemeriksaan suhu badan dan pematuhan garis panduan lain bagi jemaah yang hadir ke masjid," tambahnya. 

Selain itu, katanya, para jemaah juga diingatkan agar menjaga kesihatan diri dan memastikan diri sentiasa dalam keadaan sihat. 

"Jika tidak sihat, kita tidak membenarkan mereka hadir ke masjid, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, bawa sejadah sendiri selain mengambil wuduk di rumah kerana kita tidak menggalakkan jemaah mengambil wuduk di masjid," ujarnya lagi. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama jemaah lain khusyuk mendengar Khutbah Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama jemaah lain khusyuk mendengar Khutbah Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Pada Isnin, Yang Dipertua MIS Datu Misnu Taha berkata, Solat Jumaat dibenarkan pelaksanaan di masjid dan surau yang ditauliahkan berjumaat bermula 12 Jun manakala untuk solat lima waktu, 9 Jun.

Jelasnya, sejumlah 406 masjid dan surau di seluruh negeri yang diberi kebenaran itu bagaimanapun, harus mengikuti jumlah jemaah yang ditetapkan. 

“Masjid Jamek Negeri Sarawak dibenarkan untuk menampung 100 orang jemaah untuk Solat Jumaat, manakala untuk solat lima waktu, seramai 40 orang jemaah dibenarkan.

“Bagi Masjid Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil, MIS membenarkan seramai 50 orang untuk Solat Jumaat dan 40 orang untuk solat lima waktu,” jelasnya. 

  • oleh
  • Advertisement