Anda di sini

‘Gone with the Wind’ dikeluarkan dari HBO Max selepas protes rasisme

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 18 Oktober 2007 ini menunjukkan salinan buku ‘Gone With the Wind’ oleh Margaret Mitchell, yang ditandatangani oleh produser, pengarah dan kebanyakan pelakon dalam filem Hollywood tahun 1939 itu di Los Angeles.‘Gone with the Wind’ telah dikeluarkan dari pelantar penstriman HBO Max baru-baru ini, selepas protes besar-besaran menentang rasisme dan kekejaman polis mendorong rangkaian televisyen untuk menilai semula sajian mereka. — Gambar AFP
KELUAR DARI SENARAI: Gambar fail bertarikh 18 Oktober 2007 ini menunjukkan salinan buku ‘Gone With the Wind’ oleh Margaret Mitchell, yang ditandatangani oleh produser, pengarah dan kebanyakan pelakon dalam filem Hollywood tahun 1939 itu di Los Angeles.‘Gone with the Wind’ telah dikeluarkan dari pelantar penstriman HBO Max baru-baru ini, selepas protes besar-besaran menentang rasisme dan kekejaman polis mendorong rangkaian televisyen untuk menilai semula sajian mereka. — Gambar AFP

FILEM ‘Gone with the Wind’ telah dikeluarkan dari pelantar penstriman HBO Max baru-baru ini, selepas protes besar-besaran menentang rasisme dan kekejaman polis mendorong rangkaian televisyen untuk menilai semula sajian mereka.

Drama epik tentang Perang Saudara Amerika Syarikat (AS) yang memenangi beberapa anugerah Oscar dan dikeluarkan pada 1939 itu masih filem yang mengaut keuntungan tertinggi sepanjang zaman selepas diselarikan dengan inflasi, tetapi gambarannya mengenai hamba yang berpuas hati dan pemilik hamba yang berani telah menerima kritikan.

“‘Gone With The Wind’ merupakan produk zamannya dan menggambarkan beberapa prejudis etnik dan perkauman yang, malangnya, lumrah dalam masyarakat Amerika,” seorang jurucakap HBO Max menyebut dalam satu kenyataan kepada AFP.

“Gambaran rasis ini salah pada waktu itu dan salah pada masa sekarang, dan kita rasakan bahawa untuk terus menayangkan filem ini tanpa penjelasan dan kecaman terhadap gambaran tersebut adalah tidak bertanggungjawab.”

Demonstrasi sudah melanda AS sejak pembunuhan warga Afrika Amerika George Floyd pada 25 Mei lalu ketika dalam tahanan polis, dengan seruan yang semakin meningkat bagi reformasi polis dan pembasmian simbol yang lebih meluas bagi legasi rasis, termasuk tugu-tugu kepada Konfederasi yang memiliki hamba abdi.

Floyd mati pada bulan lepas ketika seorang anggota polis berkulit putih di Minneapolis menekan lututnya di leher Floyd hampir selama sembilan minit. Pegawai itu telah dituduh melakukan pembunuhan darjah kedua.

Penulis ‘12 Years A Slave’ John Ridley berkata dalam satu karangan dalam akhbar Los Angeles Times pada Isnin lepas bahawa ‘Gone with the Wind’ mesti dikeluarkan kerana ia “bukan sahaja ‘kurang’ dari segi gambaran” tetapi tidak mempedulikan keburukan perhambaan dan mengabadikan “beberapa stereotaip yang paling menyakitkan bagi orang kulit gelap”.

Filem itu akan kembali ke pelantar penstriman yang dilancarkan baru-baru ini pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, bersama perbincangan mengenai konteks sejarahnya, kata syarikat itu.

Tiada suntingan akan dibuat, “kerana untuk melakukan sebaliknya adalah sama seperti mendakwa bahawa prejudis ini tidak pernah wujud”.

“Jika kita mahu mewujudkan masa depan yang lebih adil, saksama dan inklusif, kita mesti terlebih dahulu menerima dan memahami sejarah kita.”

- ‘MELUMRAHKAN KETIDAKADILAN’ -

Sementara itu pada Selasa lepas, siri realiti yang sudah sekian lama bersiaran ‘Cops’ telah dibatalkan oleh Paramount Network.

Siri itu mengikuti anggota polis AS sebenar yang menjalankan tugas selama lebih tiga dekad, tetapi dituduh menjadikan aspek kepolisan sesuatu yang glamor dan memutar-belit isu seperti kaum.

“‘Cops’ tidak ada dalam Paramount Network dan kami tidak ada sebarang rancangan baik sekarang mahupun pada masa depan untuk membawanya balik semula,” kata seorang jurucakap rangkaian kepada media AS pada Selasa.

Siri polis – baik realiti mahupun berskrip – merupakan antara program yang ditontoni paling ramai orang di televisyen AS tetapi telah mengundang penelitian.

Kumpulan hak sivil, Color of Change, yang berkempen untuk menentang siri itu kerana gambarannya mengenai suspek dan dakwaan tentang penyembunyian rasisme dalam pasukan polis, mengalu-alukan berita itu pada Selasa lepas.

“Selama 30 tahun, #COPS telah melumrahkan ketidakadilan dan memberi gambaran yang salah mengenai jenayah, kepolisan dan kaum,” ciap presiden Rashad Robinson.

“Namun ia sama sekali bukan satu-satunya siri TV jenayah yang berbuat demikian.”

Dan Taberski, yang mendakwa dalam podcastnya ‘Running from Cops’ mendakwa siri itu membenarkan polis untuk mengeluarkan bahan yang memberi gambaran buruk sewaktu penyuntingan, berkata dia “berharap pembatalannya 31 tahun kemudian adalah tanda bagi perubahan positif yang akan datang”.

Siri polis realiti yang popular ‘Live PD’ sudah dikeluarkan dari jadual, manakala  siri prosedur berskrip yang dibintangi Jessica Alba ‘LA’s Finest’ menyaksikan tayangan perdana musimnya ditangguhkan Isnin lepas.

Di UK pula, BBC berkata ia sudah mengeluarkan siri sketsa ‘Little Britain’ – yang memaparkan adegan di mana pelakon berkulit putih memakai mekap untuk menggambarkan watak dari latar belakang etnik lain – dari khidmat penstrimannya iPlayer.

“Masa sudah berubah sejak Little Britain mula-mula ditayangkan, jadi ia kini tidak ada dalam BBC iPlayer,” kata seorang jurucakap bagi badan penyiaran kebangsaan itu Selasa lepas. — AFP

Advertisement