Anda di sini

Sejenak cerita kunjungan singkat ke Pasar Gadong

Advertisement
 

DALAM satu perjalanan transit di Bandar Seri Begawan, beberapa bulan lepas-tetapi pastilah sebelum wabak COVID-19, kami sempat singgah bermalam di Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei Darussalam.

Dalam kunjungan singkat itu, kami, saya dan Mabulmaddin, sempat bertemu makcik iaitu sepupu bapa yang kami panggil Babu Dayang.

Bersama anak-anaknya mereka sanggup berkereta dari Kuala Belait semata-mata untuk bertemu kami. Lama tidak berjumpa, bahkan jarang sekali berkesempatan untuk bertemu mereka, kecuali jika ada peluang untuk singgah sekadar bertukar sapa.

Babu Dayang sudah lama menetap di Brunei iaitu sejak tahun 60-an lagi. Meskipun begitu, beliau masih fasih berbahasa Bajau. Kami rasa gembira kerana dapat berjumpa dengan sepupu-sepupu di Brunei dan keluarga mereka.

 Bergambar bersama Babu Dayang, anak-anak dan cucunya.
BERSAMA MAKCIK: Bergambar bersama Babu Dayang, anak-anak dan cucunya.

Selepas itu ,mereka membawa kami keliling Bandar Seri Begawan. Salah satu tempat yang kami kunjungi ialah Pasar Pelbagai Barangan Gadong. 

Pasar yang menempatkan sebanyak 150 petak mengikuti kategori jualan iaitu salai-menyalai sebanyak 16 petak, masa memasak 81 petak manakala 39 petak bagi kategori sayur dan buah.

Pasar Pelbagai Barangan Gadong dibina susulan titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhim Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ia dibina bagi menggantikan Pasar Malam Gadong.

Saya pernah berkunjung ke Pasar Malam Gadong sebelum ini untuk membeli juadah berbuka puasa. Pasar malam itu agak ramai dan popular di kalangan masyarakat temparan. Tetapi sekarang, keadaannya jauh lebih baik dan teratur.

 Suasana di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.
PELBAGAI: Suasana di Pasar Pelbagai Barangan Gadong.

Bangunan yang tersergam indah itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Awang Haji Mohammad Yasmin Haji Umar pada 2 Februari 2017.

Pembinaan pasar pelbagai barangan itu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung. Suasana perniagaannya lebih kondusif berbanding dahulu. 

Pelbagai barangan dijual di pasar berkenaan. Jika ingin melihat kepelbagaian makanan di Brunei, boleh berkunjung ke pasar yang menjual pelbagai jenis makanan termasuk makanan tradisi.

Bangunan Pasar Pelbagai Barangan Gadong mempunyai keluasan 5,979.00 meter mula dibina pada 9 November 2016 dan siap pada 23 Disember 2016.

 Bergambar bersama Babu Dayang, anak-anak dan cucunya.
BERSAMA MAKCIK: Bergambar bersama Babu Dayang, anak-anak dan cucunya.

Saya perhatikan setiap petak salai menyalai dan masak-memasak disediakan tempat memasak yang selesa termasuk 'hoods', sinki, kabinet, penyimpanan barangan penjaja, bekalan elektrik dan soket bagi setiap petak serta kipas angin.

Selain itu disediakan juga tempat penyimpanan tangki gas bagi setiap petak yang berkunci, 'hose' dan kepala gas manakala setiap kabinet penjaja disediakan alat pemadam api.

Saya tidak sempat duduk di meja dan kerusi yang disediakan untuk pengunjung, yang diperbuat dari stainless steel kerana perancangan hanya singgah sebentar untuk membeli kuih.

 Aneka jenis jualan juga boleh didapati di pasar pelbagai barangan.
CARI APA SAJA: Aneka jenis jualan juga boleh didapati di pasar pelbagai barangan.

Bagi pengunjung yang ingin menunaikan solat, bangunan surau baharu juga dibina bersebelahan dengan Pasar Pelbagai Barangan Gadong memuatkan 40 jemaah disanping penyediaan tandas lelaki dan tempat berwuduk.

Pasar itu juga dikenali 'Julangan Titah Pasar Pelbagai Barangan Gadong' kerana dibina hasil titah sultan yang mahu mencipta suasana perniagaan yang kondusif bagi memberikan sumber pendapatan yang lumayan kepada peniaga.

Kunjungan ke pasar itu memberikan kepada kami  untuk merasai denyut nadi kehidupan masyarakat di Bandar Seri Begawan. Pelbagai jenis buah-buahan, ada diantara belum pernah saya nampak, dijual di Pasar Pelbagai Barangan Gadong itu.

Saya hanya mengambil seberapa banyak foto dengan harapan satu masa nanti saya boleh menulis mengenainya. Kunjungan ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong ini perlu dimasukkan dalam jadual bagi pengunjung yang belum pernah berkunjung ke Negara Brunei Darussalam.

 Buah belunu, salah satu buah-buahan yang semakin sukar diperolehi.
BELUNU: Buah belunu, salah satu buah-buahan yang semakin sukar diperolehi.

Salah satu yang menarik perhatian dalam kunjungan kami ke pasar itu ialah kuih yang diberi nama 'Kuih Malaya Babu Cantik' dengan tagline 'Rasanya nyamaaan banar'. Saya kurang pasti mengapa kuih itu diberi nama kuih malaya? Mungkinkah kerana ia berasal dari Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu? 

Di Semenanjung, kuih malaya itu diberi nama apam balik.Namun kalau di Sabah, ada yang memanggilnya terang bulan. Tidak pasti mana satu yang tepat.

Kunjungan singkat ke Pasar Pelbagai Barangan Gadong itu, sungguhpun hanya kunjungan ke pasar tetapi ia tetap memberi manfaat. Banyak perkara boleh dipelajari, bukan saja dari peniaga, tapi pengendalian dan pengurusan pasar yang teratur dan rapi.

Kami sempat memberi beberapa jenis kuih sebelum pulang ke hotel kerana awal pagi keesokan harinya kami meneruskan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.

  • oleh
  • Advertisement