Anda di sini

Sarawak, Brunei perlu pertimbang buka semula sempadan

Advertisement
LING
LING

MIRI: Sudah tiba waktunya bagi Malaysia dan Brunei Darussalam memulakan rundingan bagi membuka semula pintu sempadan kedua-dua negara secara bersyarat.

Senator Alan Ling memberitahu, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negara ini yang bermula semalam, sempadan Sarawak-Brunei juga wajar dibuka secara bersyarat khususnya untuk penduduk di wilayah utara negeri ini seperti Miri, Limbang dan Lawas.

“Saya menyeru agar Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Brunei mengadakan satu rundingan bersama untuk membenarkan sempadan kedua-dua negara dibuka dalam masa terdekat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan boleh diterima pakai demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

 “Cadangan pembukaan semula sempadan antara Sarawak dan Brunei ini sememangnya penting untuk meningkatkan kembali kegiatan ekonomi Sarawak, di mana rakyat Brunei menyumbang sebahagian besar daripada perkembangan ekonomi di negeri ini khasnya di utara Sarawak,” jelas beliau.

Ling berkata, pembukaan sempadan Sarawak-Brunei wajar diberi pertimbangan kerana masih ada dalam kalangan rakyat Sarawak yang masih terkandas di negara Brunei disebabkan penutupan sempadan antara kedua-dua negara sebaik pelaksanaan PKP oleh kerajaan masing-masing sejak Mac lalu.

Menurutnya, segelintir daripada rakyat Sarawak yang berada di Brunei sudah lama tidak bertemu keluarga di Sarawak akibat sekatan sempadan tersebut.

“Malahan ada dalam kalangan rakyat Sarawak yang perlu balik Brunei untuk bekerja semula dalam sektor perkilangan dan pembinaan, namun disebabkan penutupan sempadan mereka mengalami kesukaran untuk merentas sempadan dan ini menyebabkan risiko mereka kehilangan pekerjaan adalah tinggi,” ujarnya.

Ling berharap agar pertimbangan kemasukan bersyarat dengan garis panduan SOP yang ketat dapat dirangka dan dilaksanakan untuk menerima kemasukan rakyat Brunei ke Sarawak dan sebaliknya.

Beliau turut berharap agar kerja-kerja penguatkuasaan kemasukan bersyarat dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara secara rapi sekiranya sempadan dapat dibuka semula secara bersyarat, untuk mengembalikan perkembangan pesat ekonomi di negeri ini di samping bersama-sama mengelakkan jangkitan wabak COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement