Anda di sini

Novel baharu Elena Ferrante cetus keterujaan di Paris

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 4 Oktober 2016 ini menunjukkan buku oleh penulis Itali Elena Ferrante di sebuah kedai buku di Rom. Barisan panjang terbentuk di luar kedai buku Perancis pada Selasa lepas apabila peminat Ferrante berpusu-pusu untuk mendapatkan naskhah bagi buku baharunya yang mendapat pujian ‘The Lying Life of Adults’. — Gambar AFP
TULAR: Gambar fail yang diambil pada 4 Oktober 2016 ini menunjukkan buku oleh penulis Itali Elena Ferrante di sebuah kedai buku di Rom. Barisan panjang terbentuk di luar kedai buku Perancis pada Selasa lepas apabila peminat Ferrante berpusu-pusu untuk mendapatkan naskhah bagi buku baharunya yang mendapat pujian ‘The Lying Life of Adults’. — Gambar AFP

BARISAN panjang terbentuk di luar kedai buku Perancis pada Selasa lepas apabila peminat Elena Ferrante berpusu-pusu untuk mendapatkan naskhah bagi buku baharunya yang mendapat pujian ‘The Lying Life of Adults’.

Pembaca bahasa Inggeris terpaksa menunggu sehingga September untuk membaca novel pertamanya sejak kuartet ‘Neapolitan Novels’ tulisannya yang amat berjaya sekali berakhir dengan ‘The Story of the Lost Child’ pada 2014.

Saga baharunya juga berlatarbelakangkan bandar raya selatan Itali berkenaan.

Namun kali ini heroinnya Giovanna berasal dari golongan atasan dalam masyarakat di Naples dan bukan dari masyarakat kelas buruh yang hidup di pinggiran, dan novel itu bermula di daerah atas bukit yang mewah Vomero pada awal tahun 1990an.

Kedua-dua ibu bapanya nampak seperti cendekiawan yang memiliki kesedaran, dan dia dibesarkan untuk merasa “bangga dilahirkan sebagai wanita”.

Tetapi itu tidak bermakna Giovanna tidak mengalami kesusahan, dan perenggan pembukaan diacah-acah oleh penerbit Ferrante yang mendedahkan bagaimana dia begitu terkesan selepas dia terdengar bapanya memberitahu ibunya bahawa dia sangat hodoh.  

Sementara segelintir pengkritik di Itali tidak menyukai ‘Ferrante-mania’, ia amnya diterima dengan baik.

Peminat di Itali berbaris pada waktu malam pada November lalu untuk membeli naskhah-naskhah pertama bagi buku tersebut dan kemudian membacanya bersama-sama dalam perhimpunan sepanjang malam.

Walaupun pandemik koronavirus sedang berlaku – yang turut melengahkan penerbitan buku itu dalam bahasa Inggeris dari Jun hingga September – ia telah menjadi buku yang amat laris sekali.

Pengkritik di Perancis amnya turut tertarik dengan pelbagai emosi dalam pemberontakan remaja di dalamnya dan jalan cerita yang penuh penderhakaan.

Olivia de Lamberterie memberitahu radio Perancis bahawa “Ferrante tidak berniat untuk menggoda pembaca.

Dia ada cara menyusun atur watak-wataknya dalam semua kerumitan mereka. Persahabatan selalunya teruk dan penuh penderhakaan.”

Penamatnya juga telah membuat ramai bertanya sama ada ini mungkin permulaan bagi siri Ferrante yang baharu, tetapi penerbitnya di Itali mendakwa mereka sendiri tidak tahu.

Netflix mengumumkan pada bulan lepas bahawa mereka juga akan membawa ‘The Lying Life of Adults’ ke skrin.

Siri itu akan dihasilkan dalam kerjasama dengan syarikat penerbitan Itali, Fandango, yang mana pengasasnya Domenico Procacci mengusahakan adaptasi televisyen bagi siri Ferrante berjudul ‘My Brilliant Friend’.

Ferrante menjadi nama yang dikenali ramai dengan buku pertama daripada buku-buku Naples tulisannya, ‘My Brilliant Friend’.

Ia juga merupakan tajuk bagi satu siri televisyen HBO yang popular dan diambil dari buku-buku tersebut.

Drama empat bahagian ‘My Brilliant Friend’, yang melonjakkan Ferrante sehingga menjadi masyhur seantero dunia, turut diubah menjadi sebuah siri oleh HBP dalam kolaborasi dengan saluran penyiaran negara Itali, Rai.

Pada hujung April lalu, HBO mengarahkan musim ketiga bagi ‘My Brilliant Friend’.

Novel yang mendasarinya sudah menjual lebih 15 juta naskhah di seluruh dunia.

Buku ‘The Lying Life of Adults’ dikeluarkan pada November 2019 dalam bahasa Itali, dan akan diterbitkan dalam 25 bahasa pada September.

Walaupun novel-novel ‘My Brilliant Friend’, yang diterbitkan antara 2011 hingga 2014 di Itali, menikmati kejayaan yang amat besar sekali, Ferrante tidak pernah mendedahkan identitinya dan masih menggunakan nama pena.

Kuartet novel berkenaan, yang menceritakan tentang persahabatan yang berkekalan di antara dua gadis muda yang sensitif, sudah dijual lebih 10 juta naskhah di seluruh dunia. — AFP

Advertisement