Anda di sini

Cirque du Soleil berdepan pertarungan di belakang pentas selepas kerugian kerana COVID-19

Advertisement

DENGAN pertunjukannya yang dibatalkan kerana pandemik COVID-19, usaha Cirque du Soleil yang menanggung beban hutang untuk terus hidup telah mengundang pertarungan yang sengit di belakang pentas untuk cuba menyelamatkan ikon kebudayaan Kanada itu.

Di kedudukan teratas dalam senarai pelamar yang berpotensi adalah bekas pemakan api Guy Laliberte, yang menubuhkan rombongan akrobatik itu pada 1984 tetapi kemudian menjualkannya.

“Kebangkitannya perlu dibuat pada harga yang betul. Dan bukan pada sebarang harga,” kata lelaki berusia 60 tahun itu, yang tidak mahu melihat ciptaannya dijual kepada kepentingan swasta.

Badut bilionair itu berkata selepas “pertimbangan yang teliti”, dia memutuskan “bersama sebuah pasukan yang hebat” untuk membuat bidaan, tetapi tidak memberi sebarang maklumat.

Di bawah kepimpinannya, Cirque telah mendirikan khemah besar di lebih 300 buah bandar raya di seluruh dunia, untuk menghiburkan audiens dengan aksi sarkas kontemporari yang memukau dan diiringi muzik tetapi tanpa singa, gajah dan beruang seperti kebiasaan.

Kemudian pandemik berlaku, yang memaksa syarikat itu pada Mac lalu untuk membatalkan 44 pertunjukan di seluruh dunia, dari Las Vegas hingga Tel Aviv, Moscow hingga Melbourne, dan memberhentikan 4,679 akrobat dan juruteknik, atau 95 peratus daripada tenaga kerjanya.

Menuju ke arah kebankrapan, gergasi hiburan global dan kebanggaan Kanada itu mentauliahkan sebuah bank pada awal Mei untuk meneliti pilihannya, termasuk kemungkinan penjualan.

Sementara itu, pemegang saham mendapatkan pembiayaan perantaraan sebanyak AS$50 juta untuk “keperluan kecairan jangka pendek”.

Laliberte, badut pertama untuk menaiki roket ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada 2009, melepaskan kuasa ke atas Cirque untuk for AS$1 bilion pada 2015.

Sejak itu, ia telah jatuh ke dalam tangan firma pelaburan Amerika, TPG Capital (pegangan 55 peratus) dan Fosun dari China (25 peratus), yang turut memiliki Club Med dan Thomas Cook Travel.

Caisse de depot et placement du Quebec (CDPQ) memegang 20 peratus terakhir.

Pelabur institusi itu, yang mengurus pelan pencen awam dan program insurans di Quebec, membeli pegangan peratus terakhir Laliberte yang masih ada dalam perniagaan itu pada Februari lalu, sejurus sebelum pandemik berlaku.

Sejak 2015, Cirque telah menjalankan pemerolehan yang mahal dan pengubahsuaian dewan persembahan yang tetap, sementara semangat kreatifnya pudar, menurut pengkritik dalam media Quebec.

Sementara itu, ia telah mengumpul hutang melebihi AS$1 bilion.

Bimbang Cirque akan “dijual kepada kepentingan asing”, kerajaan Quebec baru-baru ini menawarkannya pinjaman bersyarat sebanyak AS$200 juta untuk membantu melancarkan semula pertunjukannya selepas sekatan ke atas perhimpunan besar mula dilonggarkan di seluruh dunia.

Namun persetujuan pada prinsipnya bergantung kepada pengekalan ibu pejabat Cirque di Montreal dan wilayah itu dibenarkan untuk membeli pegangan AS dan China dalam syarikat itu pada waktu yang tidak dinyatakan pada masa depan, “pada nilai pasaran” dan dengan “mungkin rakan tempatan”, kata Menteri Ekonomi Quebec, Pierre Fitzgibbon.

- ‘Terlalu penting bagi Quebec’ -

“Kerajaan enggan mengendalikan sarkas itu, tetapi sarkas ini terlalu penting bagi Quebec (untuk menyerahkannya kepada orang asing),” katanya.

Selain Laliberte, pembeli lain yang prospektif termasuk Quebecor, syarikat telekom dan media gergasi milik taikun Pierre Karl Peladeau, tetapi bidaan pembukaannya yang rendah telah ditolak bulat-bulat.

“Ia pada asasnya adalah nilai dan reputasi jenama” yang telah menarik minat kepada syarikat itu, kata Michel Magnan, selaku pengerusi urus tadbir korporat di Universiti Concordia, Montreal.

Namun “selagi ada sekatan ke atas perhimpunan orang ramai, masa depan tidak begitu cerah” bagi Cirque, katanya.

Beberapa cabaran menunggu, menurut Magnan.

“Ramai orang bekerja dalam semua pertunjukan ini. Di manakah mereka sekarang? Apakah yang mereka buat? Bagaimana perkembangan mereka? Bagaimana keadaan mereka, bagaimana keadaan minda mereka?” dia bertanya.

“Semakin masa berlalu, semakin kepakaran ini berisiko sejat dan aset-aset ini menjadi tidak jelas.”

Sagu hati kecil: Cirque mengadakan semula pertunjukannya pada Rabu lepas di Hangzhou, China, lima bulan selepas wabak berlaku di bandar raya yang terletak 700 kilometer ke timur Wuhan, di mana virus itu pertama kali muncul pada hujung 2019. — AFP

Advertisement