Anda di sini

PKPP melegakan, pemilik perniagaan berusaha utamakan kesihatan awam

Advertisement
 Dr Esther sudah bersedia untuk pembukaan cawangan baharu pusat kecantikannya di Johor Bahru pada 10 Jun ini.
BUKA CAWANGAN: Dr Esther sudah bersedia untuk pembukaan cawangan baharu pusat kecantikannya di Johor Bahru pada 10 Jun ini.

PERNIAGAAN yang bakal memulakan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas 9 Jun ini perlu mengelak daripada mewujudkan ‘kluster pen’ dengan mengguna pakai sistem pendigitalan sepenuhnya.

Demikian cadangan Pengasas dan Pemilik Pusat Kecantikan Dr Esther Michael, 28, kerana gusar sekiranya penggunaan pen oleh sebilangan pelanggan boleh menyebabkan jangkitan wabak COVID-19.

“Pihak kami sedaya upaya untuk mendigitalkan semua proses pengambilan maklumat pelanggan sebelum masuk ke dalam premis agar mereka tidak perlu menggunakan pen untuk menulis maklumat peribadi seperti nombor telefon dan suhu badan di atas kertas.

“Kita juga tidak mahu selepas bermulanya perniagaan maka tercipta pula kluster pusat kecantikan dan kemudian ia akan memberi kesan kepada pusat kecantikan yang lainnya untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Beliau sendiri berasa teruja dengan pengumuman PKPP Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu kerana ramai yang telah terkesan dan kini ekonomi bakal pulih semula secara berperingkat.

Pasukannya yang terdiri daripada 32 kakitangan dari enam cawangan di seluruh negara itu telah bersedia dengan segala kelengkapan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan sejak 18 Mac lagi.

N Harvinder Kaur Nermal Singh, 42, pula menyenangi para pelanggannya yang sanggup membawa pen sendiri untuk mendaftar maklumat peribadi dan suhu di kedai makannya di Kuching.

Beliau yang juga menguruskan sebuah bistro di pusat bandar raya Kuching enggan membuka pusat berkenaan sehingga keadaan semakin bertambah baik.

(Dari kiri) N HARVINDER, MACSWEYZER dan SHAHRULNIZAM
(Dari kiri) N HARVINDER, MACSWEYZER dan SHAHRULNIZAM

Sementara itu, bagi usahawan kecantikan dan fesyen, Shahrulnizam Samawi, 31, pengumuman PKPP Perdana Menteri memberi petanda positif buatnya.

Selepas tiga bulan tidak mengendalikan sebarang operasi pembelajaran dalam akademi jahitan dan penjualan keluaran fesyen batiknya ke Semenanjung dan luar negara, kini beliau lega kerana turut dibenarkan merentas negeri.

“Cuma kita berharap ramai rakyat Malaysia yang akan keluar dan berbelanja dalam usaha menyokong pertumbuhan sektor ekonomi negara yang tidak membabitkan sebarang import dari luar negara setakat ini.

“Kerajaan telah membuka ekonomi tetapi rakyat masih takut hendak berbelanja, ia masih tidak berguna kerana urusan perniagaan masih terhad untuk dalam negara sahaja sekarang,” jelasnya lagi.

Bagi pengusaha Bistro, Macsweyzer Richard, 43, beliau menyeru agar kerajaan tidak membenarkan sama sekali pemegang lesen bistro di negeri ini untuk beroperasi.

DR ESTHER
DR ESTHER

Kata beliau, pusat bistro di Sarawak berbeza daripada negeri lain kerana sebahagian daripadanya juga menawarkan perkhidmatan berkaraoke dan menjual minuman beralkohol yang mungkin sukar untuk mengamalkan SOP.

“Di Sarawak banyak pemegang lesen bistro turut menyediakan perkhidmatan berkaraoke dan sekiranya kita menjalankan perniagaan di dalam bistro tanpa lagu ia berkemungkinan tidak berbaloi untuk para pelanggan.

“Pada pendapat saya, kalau pusat hiburan tidak dibuka pastikan bistro juga tidak dibuka demi keselamatan para pelanggan daripada dijangkiti virus COVID-19,” ujarnya.

Beliau katanya tidak kisah walaupun tidak berniaga kerana kesihatan awam harus diutamakan terlebih dahulu sehingga vaksin ditemui atau mungkin sifar kes positif berlaku di negeri ini.