Anda di sini

Peminat BTS kumpul AS$1 juta untuk pergerakan Black Lives Matter

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 7 Jun 2019 ini menunjukkan keterujaan peminat BTS sebelum berlangsungnya konsert kumpulan itu di stadium Stade-de-France di Saint-Denis, Paris. Peminat kumpulan bintang mega K-pop BTS mengumpul dan menyumbang AS juta kepada pergerakan Black Lives Matter, untuk menyaingi jumlah sama yang disumbangkan oleh kumpulan septet itu dalam tempoh 24 jam, kata penganjur Isnin lepas. — Gambar AFP
KUMPUL SATU JUTA: Gambar fail yang diambil pada 7 Jun 2019 ini menunjukkan keterujaan peminat BTS sebelum berlangsungnya konsert kumpulan itu di stadium Stade-de-France di Saint-Denis, Paris. Peminat kumpulan bintang mega K-pop BTS mengumpul dan menyumbang AS juta kepada pergerakan Black Lives Matter, untuk menyaingi jumlah sama yang disumbangkan oleh kumpulan septet itu dalam tempoh 24 jam, kata penganjur Isnin lepas. — Gambar AFP

PEMINAT kumpulan bintang mega K-pop BTS mengumpul dan menyumbang AS$1 juta kepada pergerakan Black Lives Matter, untuk menyaingi jumlah sama yang disumbangkan oleh kumpulan septet itu dalam tempoh 24 jam, kata penganjur Isnin lepas.

Pengurus kumpulan tersebut Big Hit Entertainment berkata pada hujung minggu lepas bahawa mereka dan BTS – sekarang salah sebuah kumpulan terbesar di dunia – telah sama-sama menyumbang AS$1 juta kepada pergerakan antiperkauman yang sedang dilancarkan di Amerika Syarikat dan negara lain, dicetuskan oleh kematian seorang lelaki kulit hitam tanpa senjata dalam tahanan polis selepas seorang anggota polis menekan lehernya dengan lutut.

“Kami menentang diskriminasi kaum. Kami mengecam keganasan,” ciap BTS pada minggu lepas, yang sejak itu sudah diciap semula kira-kira sejuta kali.

Pengumuman Big Hit itu tidak lama kemudian mencetuskan hashtag #MatchAMillion yang trending di seluruh dunia dalam Twitter, dengan sekumpulan peminat BTS – One in an Army – menubuhkan sebuah projek derma dalam talian untuk perjuangan itu.

Pada pagi Isnin, One in an Army mengumumkan mereka sudah mengumpul lebih AS$1 juta daripada hampir 35,000 orang penderma.

“Sama seperti BTS, kami dapat menderma AS$1 juta untuk membantu membiayai wang jaminan keluar bagi mereka yang ditangkap kerana membantah kekejaman polis” dan menyokong kumpulan advokasi yang diketuai masyarakat kulit hitam, dan lain-lain, kata mereka dalam Twitter.

Tidak seorang pun daripada penganjur kumpulan peminat itu berasal dari Korea Selatan, menurut laman sesawang mereka, kebanyakannya dari Eropah atau Amerika Utara.

Pengumuman itu menyusuli satu usaha dalam talian baru-baru ini oleh peminat K-pop untuk mengambil alih hashtag #WhiteLivesMatter yang kontroversi, selalunya digunakan oleh mereka yang mengkritik penunjuk perasaan antiperkauman, dengan memaparkan tag tersebut bersama video dan imej penyanyi kegemaran mereka.

BTS – atau Bangtan Sonyeondan, yang diterjemahkan sebagai Bulletproof Boy Scouts – merupakan kumpulan K-pop pertama untuk menduduki tempat teratas carta di Amerika Syarikat dan Britain dengan beberapa pertunjukan yang laris di Los Angeles, Paris dan Stadium Wembley di London.

“Saya berasal dari London. Ibu saya terpaksa menangani perkauman sepanjang hayatnya,” tulis seorang peminat BTS berkulit hitam.

“Saya sungguh bangga untuk memberitahunya bahawa kumpulan yang saya puja menyokong kita dan berdiri bersama kita.” — AFP

Advertisement