Anda di sini

Industri penerbangan saling bekerjasama depani 'normal baharu' dalam penerbangan

Advertisement
 
Penerbangan merupakan satu daripada industri yang terjejas teruk akibat COVID-19. - Gambar fail AFP

KUALA LUMPUR: Pemain industri penerbangan sedang meningkatkan kerjasama antara satu sama lain bagi berdepan dengan ‘normal baharu’ dalam operasi harian industri itu serta memulihkan semula keyakinan pengguna terhadap perjalanan udara selain memastikan keselamatan mereka.

Ketua Airbus Malaysia Raymond Lim berkata penerbangan merupakan satu daripada industri yang terjejas teruk akibat daripada penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, berikutan perkembangan positif dalam usaha memerangi pandemik tersebut, kerajaan di seluruh dunia telah mula melonggarkan dasar sekatan pergerakan mereka dan industri itu mungkin dapat pulih segera kerana lebih banyak syarikat penerbangan yang telah mula beroperasi semula. 

“Kami terus mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) kerana kita tidak boleh melakukannya sendirian.

“Kita perlu saling bekerjasama untuk meningkatkan keyakinan awam bahawa kita komited bagi memastikan tahap keselamatan paling tinggi bagi penumpang dan kru,” katanya kepada Bernama. 

Lim berkata semua pemegang kepentingan perlu memainkan peranan mereka dalam memastikan penumpang mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial dan mengurangkan sentuhan semasa proses daftar masuk, imigresen dan pemeriksaan keselamatan serta pengimbasan suhu badan.

Selain itu, katanya, perlu juga untuk menyemak semula prosedur semasa menaiki dan keluar pesawat bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran penumpang yang lebih lancar. 

 Kualiti udara kabin pesawat menyamai dewan bedah hospital dengan sistem penapisan HEPA 

 Lim berkata kabin pesawat mempunyai antara standard kualiti udara paling tinggi dan selamat dalam sistem pengangkutan kerana aliran udara, suhu dan kualitinya sentiasa dipantau.

“Udara dalam kabin ditambah dan diganti setiap dua hingga tiga minit. Ia memasuki kabin menerusi bahagian berhampiran tempat simpanan barang di bahagian atas kepala, bergerak turun pada kadar kira-kira satu meter sesaat dan keluar menerusi bolong di aras lantai. 

“Oleh kerana udara mengalir dari atas ke bawah, tiada aliran udara dari kiri ke kanan atau dari depan ke belakang, jadi ia mengurangkan risiko pencemaran silang,” katanya.

Udara dalam kabin ditapis menerusi penapis High Efficiency Particulate Air (HEPA) yang menyingkir 99.95 peratus partikel seperti bakteria dan virus termasuk coronavirus agak besar (COVID-19) daripada udara untuk menghasilkan udara gred seperti di hospital bagi penumpang.

Lim berkata udara yang ditapis itu kemudiannya akan digabungkan dengan udara segar dari luar pesawat yang bermakna udara dalam kabin pesawat ditambah dan diganti setiap dua hingga tiga minit. 

“Kualiti udara dalam kabin malahan sebenarnya sama dengan udara di dewan bedah di hospital,” katanya. 

Mengosongkan kerusi di bahagian tengah secara teknikalnya tidak perlu

Bukti-bukti menunjukkan bahawa risiko penularan jangkitan dalam pesawat semasa penerbangan adalah rendah kerana aliran udara daripada sistem pengudaraan melewati ke bawah dan bukan dari sisi ke sisi, justeru, mengosongkan kerusi bahagian tengah secara teknikalnya tidak perlu.

IATA juga mengumumkan ia tidak menyokong mandat langkah-langkah penjarakan sosial yang menetapkan bahagian kerusi tengah dikosongkan. 

Bagaimanapun, Lim berkata Airbus dan IATA kedua-duanya menyokong cadangan penumpang dan kru memakai pelitup muka dalam pesawat bagi mengurangkan risiko pencemaran yang telahpun rendah.

“Berkenaan konfigurasi tempat duduk, kami menerima banyak cadangan bagaimana tempat duduk boleh dikonfigurasikan semula. Kami berpandangan, dari segi teknikalnya tidak perlu untuk mengkonfigurasikan semula tempat duduk kerana kabin mempunyai sistem penapisan tahap tinggi, menyediakan kualiti udara paling selamat.  

“Kami juga menggalakkan syarikat penerbangan untuk meningkatkan sanitisasi dalam kabin, dan mereka telahpun melakukannya. Malahan, kami mempunyai produk berkualiti baik yang memastikan kualiti sanitisasi tinggi dan sebahagian daripada kebersihan ini boleh dikekalkan bagi tempoh sehingga lima hari,” katanya. - Bernama 

  • oleh
  • Advertisement