Anda di sini

COVID-19: Bintang ‘Roma’ Aparicio minta orang ramai terus bersatu

Advertisement
YALITZA APARICIO
YALITZA APARICIO

KRISIS koronavirus telah menghalang aktres Mexico, Yalitza Aparicio, yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar, daripada bekerja semula.

Namun bintang filem ‘Roma’ arahan Alfonso Cuaron yang menerima pujian pengkritik itu menggunakan masa jauh dari pekerjaannya sebaik mungkin, dengan menjalankan kempennya bagi pihak kaum peribumi.

Selepas menghabiskan masa selama beberapa minggu di bandar asalnya Tlaxiaco di negeri selatan Oaxaca, aktres berusia 26 tahun itu – yang berasal dari suku kaum Mixtec –  kini sudah kembali ke Kota Mexico.

Dia telah melancarkan sebuah video pengumuman khidmat awam dalam bahasa-bahasa peribumi untuk membantu dalam usaha membendung penularan koronavirus baharu.

Aparicio, seorang guru terlatih yang berkhidmat sebagai seorang duta muhibah UNESCO untuk kaum-kaum peribumi,  berkongsi buah fikirannya bersama AFP tentang krisis kesihatan global yang sedang berlaku sekarang.

Wanita peribumi pertama dalam sejarah yang dicalonkan untuk anugerah Oscar bagi aktres terbaik berkata dia harap pandemik sekarang akan menunjukkan bahawa “kita tidak begitu berbeza daripada satu sama lain” dan mengajar orang untuk “berdiri bersama” dalam masa susah.

Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut, yang disunting untuk kejelasan.

S: Apakah yang anda paling seronok buat pada waktu sekatan pergerakan ini dan bagaimanakah anda mengharunginya?

J: “Pada mulanya, ia rumit kerana saya memiliki rentak yang agak gila dalam hidup saya, saya bergerak sepanjang masa dari satu tempat ke tempat lain, dan tiba-tiba, saya diberitahu ‘Anda mesti duduk di rumah’. Saya rasa lemas sedikit, terperuk di dalam rumah. Tetapi saya mula membuat perkara yang saya selama ini amat suka buat, seperti melukis dan membaca, yang membantu saya untuk berhubung semula dengan Yali yang dahulu.”

S: Apakah perkara yang diajar pandemik ini kepada kita?

J: “Ia mengajar kita untuk bersatu dan bukan sekadar dari segi fizikal. Ia mengajar kita untuk berdiri bersama, untuk memikirkan orang lain, dan tidak begitu mementingkan diri. Saya rasa itu adalah perkara paling indah yang terhasil daripada semua ini, bahawa kita menyokong satu sama lain.”

S: Bagaimanakah krisis ini telah mengubah kita?

J: “Saya tidak tahu bagaimana semua kita akan bertindak, tetapi kita seharusnya melakukan yang terbaik, dengan mengambil langkah berjaga-jaga tertentu, khususnya dari segi kesihatan kita. Ia bukanlah kerana pandemik ini lambat-laun akan berlalu dan segalanya dijangka akan kembali seperti biasa, kepada keadaan dahulu. Beberapa laporan menyatakan pandemik ini membolehkan dunia untuk bernafas. Kita menyedari bahawa ia adalah benar – apabila kita mendongak ke langit, ia kurang tercemar. Ia adalah benar bahawa kita (manusia) sedang memusnahkan Bumi.”

S: Adakah darurat kesihatan ini menjejaskan karier anda?

J: “Dalam peranan saya sebagai seorang duta muhibah UNESCO, tidak, mujurlah, tidak. Saya belum berhenti kerana masa ini berguna bagi saya, untuk memastikan saya sentiasa dimaklumi. Sudah tentulah, dari segi filem, ya, beberapa projek telah tertangguh. Kita mungkin tidak dapat bekerja buat seketika, tetapi kita akan menyambung projek nanti. Kita akan lihat bagaimana kita keluar dari pandemik ini, dan apa yang akan berlaku seterusnya.”

S: Bagaimanakah idea bagi sebuah video yang memaparkan mesej tentang koronavirus dalam bahasa-bahasa peribumi timbul?

J: “Matlamatnya ialah untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak begitu berbeza daripada satu sama lain, tetapi sebenarnya sebaliknya, semua kita adalah sebahagian daripada dunia ini dan oleh yang demikian, semua kita perlu bekerja bersama. Semua orang (yang terbabit dalam video itu) bersetuju dengan mesej ini. Ada orang yang hanya bertutur dalam bahasa ibunda mereka sahaja, mereka tidak fasih berbahasa Sepanyol, dan maka itu mesej-mesej (pencegahan) ini tidak sampai kepada mereka.” — AFP

Advertisement