Anda di sini

PENJANA diyakini dapat tingkatkan keyakinan pengguna, peniaga dan pelabur 

Advertisement
 

KUCHING: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diyakini dapat meningkatkan keyakinan pengguna, peniaga dan pelabur terhadap ekonomi negara. 

Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma (gambar) berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan enam R (6R) sebagai strategi mendepani krisis COVID-19. 

Strategi 6R ini meliputi Resolve (ketegasan), Resilience (bina daya tahan), Restart (jana semula), Recovery (pemilihan semula), Revitalise (bina semula) dan Reform (susun semula). 

“PENJANA yang merupakan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek oleh kerajaan merupakan fasa keempat daripada 6R dalam usaha kerajaan menangani cabaran kesihatan dan ekonomi disebabkan COVID-19. 

“Usaha ini dapat melandaikan keluk kemelesetan ekonomi menggunakan dasar fiskal melalui pemberian insentif, rebat, subsidi upah, suntikan dana dan sebagainya. 

“Inisiatif-inisiatif ini adalah untuk memperkasa rakyat, melonjak perniagaan dan merangsang ekonomi negara,” katanya yang dihubungi bagi mengulas mengenai PENJANA. 

Madeline percaya pelan yang diumumkan Perdana Menteri ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna, peniaga dan pelabur (domestik dan antarabangsa). 

Selain itu katanya, pelan ini juga merupakan satu usaha membangunkan daya tahan bagi menghadapi kejutan masa depan melalui program kemahiran. 

Pelan ini juga memperlihatkan usaha kerajaan menyokong ekonomi gig serta membantu peniaga meneruskan perniagaan menggunakan platform digital yang akan menjadi norma baharu. 

Bagaimanapun menurut Madeline pelan ini juga memperlihatkan kekurangan dimana tidak ada bantuan untuk peniaga sektor tidak formal atau penjaja yang biasanya diceburi oleh wanita. 

“Pelan ini dilihat memberi fokus kepada bantuan dan insentif perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor formal. 

“Sektor tidak formal adalah penyumbang kepada kelangsungan kehidupan keluarga tetapi didapati tidak ada bantuan untuk sektor ini. 

“Ini antara kekurangan yang dapat dilihat dibawah pelan ini tetapi secara keseluruhannya saya percaya pelan ini adalah satu usaha yang dapat melandaikan keluk kemelesetan ekonomi,” katanya. 
 

Advertisement