Anda di sini

PENJANA amat bermakna buat PKS di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin amat besar maknanya bagi mereka yang terlibat dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19 termasuk di Sarawak.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi (gambar) berkata, semenjak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai PKS seperti pengusaha penyediaan makanan dan minuman beralih kepada bentuk perniagaan digital. 

"Mereka jalankan perniagaan secara dalam talian memandangkan premis-premis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi dan pelanggan tidak dibenarkan keluar ketika PKP. 

"Dengan insentif-insentif di bawah PENJANA seperti bantuan geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta bagi menggalakkan PKS dan syarikat di peringkat pertengahan ke arah pendigitalan operasi," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Selain itu, Julaihi berkata, pembiayaan PKS di bawah PENJANA sebanyak RM2 bilion, untuk memberi pembiayaan sehingga RM500,000 bagi menyokong operasi perniagaan. 

"Ini merupakan peluang kepada PKS di Sarawak untuk terlibat dengan Ekonomi Digital seperti yang telah ditekankan oleh Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selama ini.

"Manakala bantuan aliran tunai menerusi pembiayaan SME Bank untuk kontraktor kelas G2 dan G3 yang dianugerahkan projek-projek kecil kerajaan yang diumumkan juga merupakan berita gembira kepada kontraktor yang terjejas teruk akibat kemurungan ekonomi tahun ini," tambahnya lagi. 

Dari segi pertanian pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menjelaskan, ini merupakan masa terbaik untuk memberi tumpuan lebih kepada kegiatan pertanian. 

Menurutnya, melalui pengumuman semalam, pihak kerajaan akan menyediakan RM350 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro Agromakanan dan 
menggalakkan pertanian bandar.

"Saya percaya, kerajaan negeri Sarawak menyokong penuh inisiatif-inisiatif ini dan pastinya Sarawak juga akan tampil dengan inisiatif tambahan untuk rakyat Sarawak.

"Saya juga berharap sejumlah dana tersebut diagihkan sama rata untuk PKS dan sektor pertanian Sarawak," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement