Anda di sini

Pengusaha taska sedia patuhi SOP norma baharu ketika beroperasi

Advertisement
 Staf-staf taska di bawah jagaan Maraini berlatih cara yang betul mengambil suhu badan sambil turut menggunakan pelindung muka dalam persediaan untuk beroperasi pada 10 Jun ini.
PATUH: Staf-staf taska di bawah jagaan Maraini berlatih cara yang betul mengambil suhu badan sambil turut menggunakan pelindung muka dalam persediaan untuk beroperasi pada 10 Jun ini.
 Anggota-anggota bomba yang terlibat dalam pelaksanaan tugas-tugas disinfeksi di taska yang diusahakan oleh Maraini.
PEMATUHAN SOP: Anggota-anggota bomba yang terlibat dalam pelaksanaan tugas-tugas disinfeksi di taska yang diusahakan oleh Maraini.
 Staf-staf menunjukkan cara bagi penjarakan sosial untuk kanak-kanak.
AKUR: Staf-staf menunjukkan cara bagi penjarakan sosial untuk kanak-kanak.
 Maraini menunjukkan pensanitasi tangan yang disediakan di taskanya.
KESIHATAN DIUTAMAKAN: Maraini menunjukkan pensanitasi tangan yang disediakan di taskanya.

PENGUSAHA Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di bahagian ini kini bersedia dan mengalu-alukan pengumuman kerajaan persekutuan termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang membenarkan taska berdaftar di Sarawak beroperasi semula pada 9 Jun akan datang.

Pengusaha Taska Permata Kasih dan Taska Penyayang Mama Maraini Jaafar berkata, beliau mengalu-alukan pengumuman kebenaran Taska beroperasi kerana dari mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 pada 18 Mac lalu operasi dihentikan sementara bagi mematuhi arahan kerajaan.

Katanya, kami kini bersedia mental dan fizikal serta akur dengan arahan kerajaan dan bersedia untuk membuka semula operasi taska pada Rabu ini.

“Apabila beroperasi semula, aspek kebersihan, keselamatan dan kesihatan warga staf dan juga premis taska sentiasa dipantau dan diberi keutamaan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya di sini kelmarin semasa diminta mengulas perkembangan terkini mengenai kebenaran beroperasi semula taska berdaftar di Sarawak pada 9 Jun ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-kanak Bintulu (PAKB) berkata, SOP PKP taska sebahagian besar adalah rutin yang dilaksanakan di taska antara menjaga pintu dan kempen mencuci tangan seperti dikehendaki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Begitupun katanya, kami akan meningkatkan SOP terbabit dengan melakukan pemeriksaan suhu badan kanak-kanak daripada dua kali sehari kepada tiga kali sehari merangkumi waktu pagi, tengah hari dan balik dari taska, pemakaian pelindung muka untuk kanak-kanak dan warga staf diwajibkan.

Selain itu katanya, kami telah membuat penambahbaikan untuk memenuhi SOP tersebut yang mana borang perakuan status kesihatan ibu bapa, staf dan kanak-kanak disediakan berserta jadual disinfeksi harian di taska, taklimat kepada staf berkenaan senarai pemeriksaan dan SOP taska dilakukan secara berkala.

“Maklumat dan SOP Taska untuk ibu bapa juga dikemas kini serta diminta melatih anak-anak cara penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan, melakukan pemeriksaan kesihatan dari rumah dengan memastikan ahli keluarga menjaga kebersihan, menjaga keselamatan, kesihatan, pemeriksaan suhu badan,” katanya sambil menegaskan anak-anak yang demam, berhingus dan suhu badan atas 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan ke taska.

Justeru katanya, sekiranya pihak taska dan ibu bapa patuh SOP PKP dan SOP taska PKP serta mengamalkan 3W(kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan sentiasa peka dengan amaran KKM)dan 3C (mengelak tempat yang sesak, tempat tertutup dan perbualan secara rapat) maka mereka tidak perlu khuatir.

Terdapat tujuh taska berdaftar di Bintulu dan dua taska yang diusahakan Maraini ialah Taska Penyayang Mama di Taman Chin Lee Jalan Sultan Iskandar (Bukit Orang) dan Taska Permata Kasih di Taman Li Hua Bintulu yang mana akan beroperasi pada 10 Jun serta pengambilan kanak-kanak adalah terhad iaitu kurang daripada 20 orang berdasarkan ruang disyaratkan.

Maraini yang terlibat dalam sektor tersebut sejak Januari 1991 berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu turut melakukan kerja-kerja nyahkuman di dua taska miliknya pada 15 Mei, pembersihan rutin setiap hari dan semua staf diberi suntikan tifoid dan membuat pemeriksaan kesihatan di klinik luar.

Dalam sidang media 3 Jun lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan taska-taska yang dibenarkan beroperasi semula mesti menguatkuasakan SOP ketat.

Uggah menambah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) dalam sesi keterlibatan bersama operator-operator taska berdaftar di seluruh Sarawak bagi memaklumkan SOP berkenaan.

Sementara itu, Dato Sri Fatimah Abdullah seperti dilaporkan akhbar ini berkata, JPBNS telah memuktamadkan SOP berkenaan dan kini tugas penting perlu dilaksanakan memaklumkan semua operator mengenai SOP tersebut.

“Kementerian saya bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi-agensi lain untuk melakukan kerja-kerja nyahkuman di taska-taska sebelum ia boleh dibuka semula.

“Kos bagi proses nyahkuman ditanggung kementerian saya.

“Kita sedar kesukaran dihadapi pusat-pusat ini, tiada punca pendapatan sepanjang PKP dan PKPB untuk membayar gaji guru dan perbelanjaan lain, jadi kerajaan negeri menyediakan geran RM5,000 untuk setiap operator taska berdaftar,” jelasnya.

Beliau menambah sebanyak 236 taska berdaftar di Sarawak dengan 3,707 kanak-kanak mendapatkan perkhidmatan di pusat-pusat berkenaan, 783 guru dan 179 pembantu guru.

Setakat ini, ujarnya KWKPK merekodkan 771 taska dan taman didikan kanak-kanak (tabika) di seluruh Sarawak telah menjalani proses nyah kuman.

Beliau mendedahkan antara SOP yang mesti dipatuhi operator taska ialah menjalankan proses nyah kuman pusat masing-masing setiap hari sebaik sesi tamat termasuk perkakasan, alat tulis dan permainan digunakan oleh kanak-kanak di situ.

“SOP pembukaan semula taska ini boleh didapati di portal rasmi www.kpwkm.gov,my,” kata Fatimah.

Dalam pada itu, kerajaan kini membenarkan baki lebih 6,000 taska beroperasi semula.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, taska yang ingin beroperasi boleh merujuk SOP disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pada peringkat awalnya, hanya 304 taska dibenarkan beroperasi.

Pada sidang media harian mengenai perkembangan PKPB di Putrajaya 2 Jun lalu katanya, taman didikan kanak-kanak (Tadika), taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan prasekolah di bawah kelolaan pelbagai kementerian lain pula dicadangkan dibuka Julai ini dan Kementerian Pendidikan akan menjadi penyelaras penyediaan SOP bagi tujuan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement