Anda di sini

Hargai alam sekitar, wang tidak boleh kembalikan alam kepada bentuk asal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan masyarakat dunia memerangi wabak COVID-19, mungkin ramai terlupa akan tarikh penting pada 5 Jun, iaitu Hari Alam Sekitar Sedunia.

Sambutan yang dimulakan sejak 1972 itu menuntut komitmen semua pihak dalam menjaga ekosistem alam sekitar agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Berikutan penularan wabak COVID-19 hampir ke seluruh dunia, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya terutama dalam normal baharu yang dipraktik masyarakat hari ini.

Namun, usaha menyemarakkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar tidak pernah berhenti, malah sambutannya tetap diteruskan dengan tema yang signifikan dengan tekanan dihadapi alam sekitar hari ini.

Tema Biodiversiti dengan slogan ‘Waktunya Untuk Alam’, memperlihatkan kepentingan kepelbagaian biologi sebagai aset dunia yang sangat bernilai untuk kesejahteraan manusia sejagat.

Keseimbangan alam sekitar adalah bergantung kepada kepelbagaian biologi yang perlu diuruskan secara mampan bagi mengurangkan gangguan iklim, keselamatan bekalan air dan makanan selain mencegah kemunculan wabak baharu.

Menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran, tema yang dipilih tahun ini perlu menjadi renungan bersama bersesuaian dengan slogan ‘Waktunya Untuk Alam’.

“Konsep ‘masa untuk alam sekitar’ perlu lebih komprehensif dan bukannya retorik bagi menyelesaikan isu-isu alam sekitar yang dihadapi dunia hari ini antaranya isu pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau, pasang surut laut yang tidak menentu menyebabkan bencana alam ekstrem,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata banyak contoh di dada akhbar mahupun di media sosial memaparkan mengenai kesan positif alam sekitar yang dapat dilihat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di kebanyakan negara.

Antaranya, kualiti udara bertambah baik sehingga menampakkan Banjaran Himalaya dari jarak sejauh 200 kilometer sejak terlindung 30 tahun lepas disebabkan pencemaran dan kehadiran ikan lumba-lumba di Selat Bosphorus yang terkenal dengan kesibukan di Turki.

Bahkan di Malaysia, indeks pencemaran udara (IPU) di beberapa tempat dilaporkan berada pada tahap sederhana (bawah 60) dan tahap baik (bawah 50).  Selain itu, beberapa sungai di Malaysia seperti  Sungai Gombak, Sungai Way dan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang terkenal dengan isu pencemaran toksik serta dipenuhi tompokan minyak, semakin pulih dan jernih.

“Namun harus diingat, pelaksanaan PKP hanyalah sekadar mengurangkan aktiviti ekonomi manusia secara besar-besaran di seluruh dunia. Ia hanya bersifat sementara dan bukan kayu pengukur bagi mengurangan beban pencemaran daripada aktiviti manusia kepada alam sekitar.

“Apabila PKP ditamatkan, kita akan kembali kepada keadaan ekonomi yang biasa. Pada masa sama, permintaan kepada bahan mentah dan produk-produk juga akan kembali kepada rutin yang lama dan ini meningkatkan semula tahap pencemaran alam sekitar seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail berkata sejak Malaysia melaksanakan PKP untuk mengekang COVID-19, jutaan rakyat berkurung dalam rumah dan ekonomi tidak beroperasi pada tahap normal.

 Hikmahnya, banyak hidupan liar yang jarang dijumpai mula merayau masuk ke habitat manusia.

“Di seluruh dunia ada banyak cerita tentang hidupan liar masuk ke habitat manusia. Di Malaysia, ada juga laporan gajah dan kera masuk ke perumahan, penampakan memerang kembali di sungai-sungai utama.

“Fenomena ini berlaku kerana manusia berada di dalam rumah dan kurang pergerakan kenderaan hingga memberi peluang haiwan keluar dari hutan,” katanya,

Menurut beliau, fenomena itu patut menjadi pengajaran kepada manusia tentang beberapa prinsip asas hubungan manusia, haiwan dan alam sekitar.

“Sekiranya kita mahu alam sekitar yang bersih dan harmoni, semua pihak mesti menjaganya dan perlu ada sistem dan teknologi bagi memastikan kualiti alam sekitar kekal terpelihara.

“Selain menghijaukan bumi, kita mesti melindungi dan pulihara habitat hidupan liar yang ada atau lindungi semua hutan simpan bagi memastikan keseimbangan biodiversiti di negara ini terus terpelihara,” katanya.

Jadi, hargailah alam sekitar kerana wang tidak boleh mengembalikan alam kepada bentuk asalnya. — Bernama