Anda di sini

Lebih 300 ribu OKU, ibu tunggal terima bantuan one-off RM300

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Lebih 300,000 golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal yang disenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka dalam keadaan mencabar ketika negara berdepan wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata bayaran itu akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha.

"Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar seperti OKU dan ibu tunggal," katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen, hari ini.

Kerajaan memperkenalkan PENJANA dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangun dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan memperuntukkan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan golongan berkenaan.

Memahami beban kos yang ditanggung pengguna pengangkutan awam untuk keluar bekerja dan aktiviti lain, Muhyiddin turut mengumumkan program MY30, dengan pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang.

“Inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuat kuasa mulai 15 Jun sehingga hujung tahun 2020,” katanya.

Perdana menteri bagaimanapun mengingatkan pengguna supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan jarak sosial ketika menggunakan pengangkutan awam.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin juga mengumumkan inisiatif ‘GLC Penjana Komuniti’ bertujuan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan menjalankan usaha membangun keupayaan sosio-ekonomi sesebuah komuniti.

Selain itu, beliau berkata kemudahan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PEKA B40) akan diperkasa dengan penambahan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan. - BERNAMA