Anda di sini

Perodua daftar 7,886 kenderaan pada Mei di sebalik situasi COVID-19

Advertisement
ZAINAL ABIDIN
ZAINAL ABIDIN

KUALA LUMPUR: Perodua mencatat jualan 7,886 kenderaan pada Mei 2020, membawa jumlah jualan setakat tahun ini (YTD) kepada 52,920 unit.

Berdasarkan jumlah ke-seluruhan industri YTD yang dianggarkan 129,401 unit, Perodua menguasai 41 peratus bahagian pasaran YTD.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, situasi COVID-19 yang masih berlangsung ini telah memberi kesan yang ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan.

“Namun kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kami kembali beroperasi di seluruh negara, kami berjaya mendekati angka jualan Mac kami pra-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Jualan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza. Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam bulan Mac sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

Tambah beliau lagi, dalam era penjarakan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah.

“Pemandu e-hailing juga telah bermula menggunakan kenderaan mereka untuk menghantar barang di samping mengangkut penumpang. Kenderaan Perodua amatlah sesuai untuk tujuan-tujuan tersebut, kerana kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kesetiaan dan sokongan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera. Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” jelasnya.

Sepanjang Jun, kempen Sambutan Bermakna Perodua menawarkan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih, sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

Advertisement