Anda di sini

Jualan Proton menunjukkan petanda awal pemulihan

Advertisement
 Dr Li Chunrong menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
AMANAT: Dr Li Chunrong menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

KUCHING: Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, berjaya menjual sebanyak 5,676 unit kereta dengan pegangan pasaran dianggarkan sebanyak 23.3 peratus pada Mei tahun ini.

Bagi bulan sama pada 2019, jualan syarikat telah dicatatkan sebanyak 10,611 unit iaitu menunjukkan perbezaan sebanyak 46.5 peratus sekaligus menggambarkan keadaan pasaran yang mencabar akibat penularan wabak COVID-19.

Dengan menjual sebanyak 5,676 unit pada bulan Mei, jualan Proton meningkatkan 73.2 peratus berbanding Mac 2020 meskipun syarikat perlu mematuhi piawaian prosedur operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PROTON X70
PROTON X70
PENAPIS KABIN N95
PENAPIS KABIN N95

Jumlah jualan Proton yang dicatatkan dari awal tahun sehingga kini berkurangan sebanyak 23.3 peratus untuk lima bulan pertama tahun ini dan bagi jumlah keseluruhan industri pula dianggar turut menyusut sebanyak 48.7 peratus bagi tempoh sama.

Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran pula, Proton kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini pada 21.1 peratus iaitu masih selari dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

Dengan hampir sebulan penuh jualan beroperasi, pencapaian jualan terlihat atas usaha tersebut.

Prestasi jualan Proton pada bulan Mei adalah disebabkan empat model syarikat yang mencatat jualan tertinggi dalam segmen pasaran masing-masing.

Proton X70 kekal menjadi SUV segmen C terlaris di negara ini dan jumlah kumulatifnya pada tahun ini juga menunjukkan SUV itu adalah yang terlaris secara keseluruhan.

PROTON EXORA
PROTON EXORA
PROTON SAGA
PROTON SAGA

Dikeluarkan melalui kilang baharu di Tanjung Malim, model tersebut telah dinaik taraf pada bulan Mei lalu dengan penambahan penapis kabin N95 iaitu Sistem Pembersih Udara Pintar Proton (P-IAPS). Penapis baharu tersebut turut ditawarkan kepada pemilik sedia ada Proton X70 untuk menggantikan sistem penapis kenderaan mereka.

Syarikat terus mencatat prestasi terbaik apabila Proton Saga turut menjadi model pilihan pembeli di Malaysia pada bulan Mei.

Ini adalah pencapaian kali pertama bagi model tersebut dan turut meletakkan ia sebagai sedan segmen A paling popular pada bulan lalu.

Selain itu, model Proton lain yang turut mencatat jualan cemerlang adalah Proton Persona yang merupakan model terlaris bagi sedan segmen B sementara Proton Exora kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB yang dikeluarkan merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia dan telah memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara.

“Industri automotif kini sedang beransur-ansur pulih namun seperti yang dijangkakan, bulan pertama adalah tempoh penyesuaian kerana perlu mengamalkan norma baharu yang melibatkan seluruh aspek operasi syarikat.

“Proton bersyukur kerana jualan syarikat tidak begitu terjejas seperti yang dijangkakan dan kami juga ingin berterima kasih kepada para pembekal syarikat yang telah bekerja keras untuk memastikan kami dapat beroperasi semula seperti biasa dengan secepat mungkin.

“Kami menjangkakan beberapa bulan lagi diperlukan untuk mendapatkan ketepatan bacaan keadaan pasaran ekonomi tetapi kami yakin bahawa kita pasti akan dapat melihat peningkatan prestasi yang stabil untuk baki tempoh tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Dalam pada itu, Proton akan menawarkan nilai yang lebih baik pada bulan ini untuk menarik minat pembeli.

Pelanggan yang membeli Proton X70 layak menikmati pembiayaan percuma bagi tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Bermula 10 Jun, Proton juga akan memperkenalkan satu program khas bagi menghargai petugas barisan hadapan Malaysia khususnya para jururawat, doktor, anggota polis dan tentera serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

PROTON PERSONA
PROTON PERSONA

Program Perlindungan Credit Shield menawarkan perlindungan insurans peribadi sehingga RM50,000 selama lima tahun termasuk kematian, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal kepada mereka yang layak yang membeli mana-mana model Proton.

“Pengorbanan para petugas barisan hadapan COVID-19 Malaysia adalah sangat tidak ternilai tetapi kami berharap agar tawaran yang diberikan sedikit sebanyak dapat menunjukkan penghargaan kami terhadap jasa mereka.

Bagi pakej pembiayaan Proton X70, tawaran tersebut membuka peluang kepada lebih ramai pembeli di negara ini untuk memiliki SUV premium Malaysia dengan harga yang lebih berpatutan dan kini lebih berbaloi dengan adanya penapis kabin N95 yang baharu,” tambah Dr Li.

Advertisement