Anda di sini

Pak penambang syukur BKSS serap impak PKP

Advertisement
 Lee (dua kanan) bersama Hussaini (kiri) dan pihak LSS duduk dalam bot penambang yang menetapkan tempat duduk mengikut penjarakan sosial untuk penumpang termasuk penyediaan jaket keselamatan.
KEBIASAAN BAHARU: Lee (dua kanan) bersama Hussaini (kiri) dan pihak LSS duduk dalam bot penambang yang menetapkan tempat duduk mengikut penjarakan sosial untuk penumpang termasuk penyediaan jaket keselamatan.

KETIKA negara dilanda pandemik coronavirus (COVID-19) yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac seterusnya memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)pada 4 Mei hingga 9 Jun, ia tidak hanya membawa kesan besar kepada pelbagai sektor ekonomi dan sosial bahkan turut menjejaskan teruk sumber pendapatan dan operasi pengusaha bot penambang di Bintulu.

Situasi itu berlaku berikutan operasi bot penambang terpaksa dihentikan selama dua bulan bagi membantu usaha kerajaan membendung penularan wabak COVID-19, namun kelonggaran yang diberikan kerajaan pada 4 Mei lalu di bawah PKPB memberi nafas semula kepada pengusaha untuk menggerakkan operasi mereka meskipun pendapatan diperolehi tidak seperti sebelum menularnya wabak.

Keadaan yang jarang berlaku tetapi kini telah melanda seluruh dunia merupakan pengalaman pertama kali dihadapi oleh Rahim Wahab, 71, yang menjalankan operasi bot penambang selama 39 tahun sejak 1981.

“Semasa PKP tiada pendapatan untuk operasi bot penambang dan memasuki PKPB ada sedikit sumber untuk menampung kelangsungan hidup tetapi agak kurang memandangkan tidak ramai yang keluar ke pusat bandar menggunakan bot penambang pada ketika ini(kerana mematuhi penjarakan sosial PKPB),” katanya ditemui selepas menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 3.0 daripada kerajaan negeri Sarawak, baru-baru ini.

BKSS 3.0 itu telah disampaikan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin di Terminal Penumpang Bintulu, tebingan Sungai Kemena kelmarin.

Rahim berkata, sebelum PKP, dalam 15 hari beroperasi pendapatan diperolehi sekitar lebih RM1,000 sebulan tetapi selepas pelaksanaan PKP pendapatan terjejas teruk bahkan hasil diperolehi semasa kelonggaran beroperasi dalam PKPB juga agak kurang untuk mencapai jumlah itu.

“Tidak hanyak penduduk (dari seberang Jepak) menggunakan kemudahan bot penambang ini untuk keluar ke pusat bandar malah beberapa sektor ekonomi dan sebagainya tidak beroperasi semasa PKPB menyebabkan para pekerja tidak turun ke bandar untuk bekerja,” katanya sambil menjelaskan, operasi dua bot penambangnya selama 12 jam digerakkan dua kumpulan dalam dua giliran sehari bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari dan 12 tengah hari hingga 6 petang.

Katanya, untuk PKPB ini operasi dua bot penambang masih mengikut jadual yang sama dan tiada perubahan.

Begitupun Rahim meluahkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Sarawak melalui BKSS 3.0 yang sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha bot penambang menghadapi tempoh sukar hilang mata pencarian semasa penularan wabak COVID-19 dengan pelaksanaan PKP selama tempoh dua bulan.

“Terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana dapat membantu meringankan beban kami pengusaha bot penambang,” katanya.

BERSYUKUR

 Shukor menunjukkan BKSS 3.0 yang diterimanya.
BANTU: Shukor menunjukkan BKSS 3.0 yang diterimanya.

Senada yang sama, Shukor Dris, 61, yang merupakan pesara kerajaan turut menyatakan keadaan sukar dan kesan besar daripada penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan pendapatannya sebagai pengusaha bot penambang.

“Pendapatan sangat terjejas, apabila tiga bulan tidak beroperasi, tiada sumber kewangan yang masuk dan operasi bot penambang pula terhenti sepenuhnya,” katanya yang bergantung penuh pendapatannya terhadap operasi bot penambangnya.

Beliau yang telah 20 tahun mengusahakan bot penambang berkata, sebelum PKP anggaran pendapatan sehari adalah sekitar RM200 dan semasa PKP dilaksanakan pendapatan terjejas kerana bot penambang saya tidak beroperasi sehinggalah kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan PKPB pada 4 Mei lalu.

“Pendapatan ketika PKPB tidaklah terjejas sangat bahkan ada juga sumber kewangan masuk, hasilnya tidak jauh dengan pendapatan sebelum PKP,” katanya.

Shukor menguruskan sepenuhnya operasi bot penambangnya selepas bersara dan sebelum itu semasa masih dalam tempoh memegang jawatan, untuk pengurusan dan kerja-kerja berkaitan bot penambang terbabit diuruskan oleh anak-anaknya.

Berkenaan bantuan kerajaan Sarawak kepada pengusaha katanya, beliau merasa bangga dan berterima kasih dengan tindakan kerajaan ini yang memperlihatkan kerajaan prihatin dan melihat akan kesusahan yang dihadapi oleh pengusaha bot penambang semasa PKP.

“Walaupun jumlah bantuan tidaklah besar tetapi kami tetap bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Sarawak ini yang setidak-tidaknya dapat membantu meringankan bebanan kami,” katanya.

Seorang lagi pengusaha Lilis Suryani Junaidi, 34, turut meluahkan keadaan sukar yang dihadapi mereka yang juga mengusaha bot penambang yang membawa penumpang dari Jepak menyeberang Sungai Kemena ke pusat bandar Bintulu.

“Pendapatan terjejas teruk sebab dua bulan lebih tidak beroperasi semasa PKP namun keadaan beransur baik selepas kerajaan melonggarkan PKP kepada PKPB untuk pengusaha-pengusaha bot penambang terus beroperasi,” katanya.

Sebelum PKP katanya, kami mampu memperolehi pendapatan sekitar RM800 hingga RM900 sebulan namun apabila tidak beroperasi sumber pendapatan juga turut terjejas namun kami bersyukur kerana kerajaan negeri membantu kami dalam tempoh sukar ini.

“Saya gembira dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak yang memberikan bantuan ini sekurang-kurang dapat membantu meringankan bebanan kami pada ketika ini yang bergantung dengan sumber pendapatan melalui bot penambang,” katanya yang mengusahakan bot penambang itu yang kini telah memasuki tahun ketiga.

 Rahim menunjukkan BKSS 3.0 daripada kerajaan Sarawak yang diterimanya.
RINGAN BEBAN: Rahim menunjukkan BKSS 3.0 daripada kerajaan Sarawak yang diterimanya.

Pengusaha bot penambang di Bintulu yang menerima BKSS 3.0 berjumlah RM500 untuk sekali bayar (one-off)terdiri daripada Pawi Kullah, Brahim Kula, Shukor Dris, Ismail Isik, Mohamad Telaha Ripin, Rahim Wahab dan Lilis Suryani Junaidi.

Sementara itu, tinjauan yang dibuat Utusan Borneo mendapati ramai penumpang menggunakan bot penambang yang bergerak memasuki jeti di tebingan Sungai Kemena ke pusat bandar Bintulu dari Kampung Jepak.

Rata-rata penumpang dan pengusaha bot penambang dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB dengan mematuhi penjarakan sosial, pengambilan suhu badan, serta perlu mencatat nama dan nombor telefon untuk rekod bagi membendung penularan dan memutus rantaian wabak COVID-19.

Pada masa sama Lee Kim Shin dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Buckland Bangik, Pemangku Kontroller LSS Lt Kol(B)Ding Tiew Wong, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim dan Penolong Kontroller LSS Wilayah 3 Leonard Luhat Laing juga turut meninjau keadaan operasi serta penumpang di jeti bot penambang bagi memastikan pengusaha termasuk penumpang mematuhi SOP PKPB.

  • oleh
  • Advertisement