Anda di sini

Kes COVID-19 semakin berkurangan tidak bermakna sudah berakhir

Advertisement
CHRISTINA RUNDI
CHRISTINA RUNDI

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin mengingatkan bahawa bilangan kes COVID-19 yang dilaporkan semakin berkurangan bukan bermakna wabak berkenaan sudah berakhir. 

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, JKNS ingin menyeru kepada orang ramai untuk terus mengamalkan norma-norma baharu disemua lapisan masyarakat tidak kira di rumah, di kedai atau di mana-mana sahaja.

"Jika kita leka dan tidak memandang serius perkara ini, tidak mustahil jangkitan COVID-19 boleh menular semula. 

"JKNS ingin memaklumkan sehingga 31 Mei 2020, jumlah kes COVID-19 bagi Sabah kekal 346 kes. 

"Pada 30 Mei lalu, sejumlah 1,224 ujian telah dijalankan menjadikan jumlah kumulatif ujian bagi negeri ini berjumlah 90,370.

"Daripada jumlah ujian yang dijalankan itu, dua sampel positif merupakan sampel ulangan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pengawalan penularan jangkitan COVID-19, Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) JKNS bersama agensi lain dalam Operasi Bersepadu PKP telah memeriksa sebanyak 3,886 premis pada 30 Mei 2020.

Katanya, daripada pemeriksaan berkenaan, terdapat dua kedai serbaneka di Sandakan telah diarah tutup berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal mematuhi penjarakan sosial. 

Menurutnya lagi, sehingga 30 Mei lalu, seramai 7,366 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 1,236 orang masih berada di 48 buah Pusat Kuarantin di seluruh negeri  dan tidak ada pelanggaran dilaporkan.

"JKNS ingin menegaskan bahawa setiap individu yang diarahkan untuk dikuarantin perlu melaksanakan perintah ini dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Christina juga menjelaskan JKNS ingin menasihatkan orang ramai terutamanya generasi muda untuk tidak terpedaya dan mudah dieksploitasi oleh industri tembakau yang menggunakan pelbagai teknik licik untuk mempengaruhi generasi muda supaya merokok. 

Katanya, kajian TECMA 2016 menunjukkan generasi muda sudah berjinak-jinak dengan rokok dan vape semasa di bangku sekolah lagi. Tren ini amatlah merunsingkan dan perlu dibendung dari awal. 

"Untuk makluman semua, jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka yang merokok akan mengakibatkan komplikasi yang teruk berbanding dengan mereka yang tidak merokok. 

"JKNS berharap wabak COVID-19 ini mencipta permulaan baharu kepada semua perokok dan kesedaran kepada generasi muda untuk menjauhi sebarang bentuk amalan merokok demi kesihatan diri dan keluarga mereka," katanya.

Untuk makluman juga katanya, JKNS menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di 23 buah hospital kerajaan dan 58 klinik kesihatan di seluruh negeri.

  • oleh
  • Advertisement