Anda di sini

Gesaan 'anang pulai Gawai' dipatuhi di Sarawak

Advertisement
Keluarga Raydilla Kumba mengenakan pakaian tradisional kaum Bidayuh di Kampung Tematu dekat sini, sempena Hari Gawai. - Gambar BERNAMA.
Keluarga Raydilla Kumba mengenakan pakaian tradisional Bidayuh di Kampung Tematu, Kuching sempena Hari Gawai. - Gambar BERNAMA.

KUCHING: Anang pulai merupakan mesej penting yang diuar-uarkan bersempena sambutan Hari Gawai di Sarawak, yang bermula hari ini, dan melihat pada suasananya, gesaan dalam bahasa Iban itu yang meminta mereka yang meraikannya untuk tidak balik kampung, dilihat dipatuhi.

Ian Lang Kuntai, 54, misalnya, antara ribuan masyarakat Dayak di negeri ini yang mematuhi gesaan itu untuk kekal di tempat beliau bekerja di Kanowit, sebuah bandar kecil terletak kira-kira  340km utara dari sini, berikutan beliau memberitahu Bernama yang beliau tidak akan pulang ke rumah panjangnya.

“Ini merupakan kali pertama saya tidak ‘Pulai Gawai’ (pulang ke rumah panjang untuk sambutan Gawai) tetapi disebabkan pandemik,” kata pegawai pendidikan yang berasal dari rumah panjang di Lichok, Roban, lebih 100km dari Kanowit.

Walaupun sedih adiknya Jennifer, yang kini berada di Miri tidak dapat melakukan perjalanan disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau bersyukur ibu bapanya yang sudah berusia lanjut, isteri dan tiga anaknya ada bersama-samanya untuk meraikan sambutan itu.

“Apa yang penting adalah semangat Gawai. Kita tidak harus kurang bersemangat untuk meraikannya hanya disebabkan oleh COVID-19.  Sekurang-kurangnya kita masih dapat meraikan  perayaan kaum Dayak ini dengan gembira,” katanya.

Bagi peguam Louis Jarau, 43, perjalanan ke rumah panjangnya di Durin dekat Sibu akan mengambil masa kira-kira enam jam dari Kuching dan pada tahun-tahun sebelum ini, beliau akan memulakan perjalanan sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh sambutan.

Walaupun perjalanannya lama dan meletihkan, katanya semua itu akan hilang oleh keterujaan dan semangat untuk meraikan Gawai. 

“Saya tidak dapat balik kampung pada tahun ini, dan saya akan merindui suasana meraikan Gawai di rumah panjang, keseronokan dan kegembiraan bertemu sanak saudara dan kawan lama,” katanya kepada Bernama.

Menyedari sekatan PKPB adalah demi keselamatan orang ramai, beliau berkata persediaan pada tahun ini ala kadar sahaja tanpa membeli-belah malah untuk dua anaknya James, 10, dan Joseph, 8.

“Berikutan pusat beli-belah tidak membenarkan kanak-kanak pada usia anak saya dibawa masuk, saya tidak mahu membawa mereka ke sana. Bagaimanapun, mereka faham keadaan itu apabila saya menjelaskan kepada mereka sambutan pada tahun ini tidak sama seperti sebelumnya,” katanya.

Tidak seperti Louis, Norma Mullie John, 51, tidak mempunyai anak kecil untuk dibimbangkan tetapi dua anaknya yang sudah dewasa, Aaron Salim, 25, dan Jordan Salim, 22, tidak dapat menyambut Gawai bersama-samanya pada tahun ini berikutan mereka kekal tinggal di universiti masing-masing di Selangor.

“Ini merupakan kali pertama saya menyambutnya tanpa mereka sejak saya menjadi seorang ibu. Kedua-dua mereka tidak dapat pulang kerana Aaron sedang menjalani latihan praktikal dalam bidang perakaunan, manakala Jordan akan menduduki peperiksaan pada minggu ini. Ia sambutan Gawai  yang ‘sunyi’ berbanding tahun lepas,” katanya.

Tanpa anak-anak, beliau juga mendapati agak ganjil untuk meraikan Gawai di bandar raya kerana secara tradisinya beliau akan berada di rumah panjangnya di Betong, yang meriah dengan pelbagai aktiviti sambutan.

Katanya beliau sekeluarga  biasanya akan memulakan perjalanan sejauh  200km kira-kira dua atau tiga hari sebelum sambutan bermula, dan akan menghabiskan masa seminggu di kampung.

“Tetapi kali ini tidak … malah tuai rumah panjang kami secara khusus memberitahu kami untuk tidak pulang dan kami akur,” katanya. - BERNAMA

Advertisement