Anda di sini

Waktu operasi mesin ATM kembali seperti biasa mulai esok - Ismail Sabri 

Advertisement
Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan PKPB di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan kembali seperti biasa mulai esok bagi memudahkan orang ramai membuat urusan perbankan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun orang ramai mesti mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan di mesin ATM, katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Waktu operasi mesin ATM sebelum ini dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli PKPB oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini. 

Pada 19 April, kerajaan mengumumkan waktu operasi ATM hanya akan bermula 8 pagi sehingga 8 malam berbanding 24 jam sebelum ini bagi mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh PKP. 

Langkah itu susulan laporan Polis Diraja Malaysia bahawa ramai orang memberi alasan ingin mengeluarkan wang di mesin ATM 24 jam untuk keluar dari rumah termasuk ketika lewat malam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Aplikasi MySejahtera akan memperkenal fungsi baharu MySejahtera Check-In bagi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur ke premis-premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat

Katanya MySejahtera Check-In boleh digunakan bermula Selasa (2 Jun) di tiga premis AEON.

"Ini juga berfungsi membantu kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak COVID-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara," katanya.

Ismail Sabri berkata aplikasi MySejahtera yang dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri, telah mempunyai 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya memuat turun aplikasi itu di Galeri Aplikasi Mudah alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19. 

Mengenai Hari Gawai yang akan disambut di Sarawak esok, Ismail Sabri sekali lagi mengingatkan bahawa aktiviti menziarah hanya dibenarkan pada sambutan hari pertama dengan kapasiti 20 ahli keluarga dan jiran terdekat sama seperti sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebelum ini.

"Penularan COVID-19 telah mengubah cara persiapan dan sambutan perayaan-perayaan ini. Kita semua harus mengadaptasi kepada normal baharu dan memastikan disiplin diri sentiasa diamalkan bagi sama-sama membanteras pandemik ini," katanya sambil mengucapkan selamat Hari Gawai kepada warga Sarawak.

Ditanya sama ada kebenaran polis masih diperlukan untuk pergerakan rentas negeri bagi kes kecemasan, pasangan suami isteri berjauhan dan pekerja berulang alik mulai esok, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini masih terpakai.

Bagi individu bujang pula, perbincangan masih dibuat untuk kebenaran merentas negeri dan beliau meminta mereka bersabar.

Mengenai permohonan daripada beberapa pihak antaranya peniaga pasar malam dan jurufoto perkahwinan supaya mereka dibenarkan beroperasi semula, Ismail Sabri berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Untuk pasar malam misalnya, saya telah meminta persatuan penjaja pasar malam berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan supaya satu SOP khusus untuk perniagaan pasar malam," katanya.

Ismail Sabri berkata operasi sektor-sektor lain juga akan ditentukan bergantung kepada pelaksanaan PKPB, sama ada disambung atau ditamatkan selepas 9 Jun, selain melihat kepada situasi penularan COVID-19 di negara ini.

Dari segi operasi pematuhan, katanya semalam 158 individu ditahan kerana ingkar PKPB, manakala 457 individu pula dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB.

Ismail Sabri berkata satu kompaun dikeluarkan kerana ziarah Aidilfitri, manakala 144 kompaun lagi di sekatan jalan raya dengan negeri yang mencatat pengeluaran kompaun tertinggi atas cubaan rentas negeri ialah Perak (42), Selangor, (32) serta Pulau Pinang dan Johor masing-masing 24 kompaun. - Bernama 

Advertisement