Anda di sini

Warga emas terharu dengan Sentuhan Kasih Petronas

Advertisement
 Sedi, 80, yang tinggal berseorangan di rumahnya di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri.
TETAP BERSEMANGAT: Sedi, 80, yang tinggal berseorangan di rumahnya di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri.
 Sedi yang menjadikan radio kecil sebagai peneman hidup beliau sepanjang masa.
PANDANGAN SAYU: Sedi yang menjadikan radio kecil sebagai peneman hidup beliau sepanjang masa.
 Sedi merakamkan gambar bersama bantuan makanan yang diterima dari Program Sentuhan Kasih Petronas.
TERIMA KASIH PETRONAS: Sedi merakamkan gambar bersama bantuan makanan yang diterima dari Program Sentuhan Kasih Petronas.

BINTULU: Perayaan Gawai Dayak tahun ini memberikan makna buat seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah usang di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri dengan adanya bantuan makanan Petronas, baru-baru ini.

Sedi Kedit, 80, yang lebih dikenali sebagai ‘Indai Man’ yang berasal dari Nanga Awik Krian, Saratok sudah menetap di Bintulu sejak lebih 20 tahun lalu kerana mengikut suaminya bekerja di sini.

“Sudah dua tahun saya tidak menyambut perayaan Gawai Dayak kerana tinggal seorang diri di sini, tambahan pula anak yang tinggal berjauhan dari saya,” ujarnya dengan nada sebak.

Namun begitu katanya, perayaan Gawai memberikan makna yang cukup besar buatnya kerana adanya bantuan makanan daripada Petronas melalui Program Sentuhan Kasih sempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai.

Program ini secara amnya telah meringankan beban ribuan keluarga yang berpendapatan rendah di negara ini sejak dilancarkan pada 2005.

Sedi merupakan salah seorang daripada 1,200 keluarga penerima di Sarawak yang mana secara keseluruhannya 5,000 keluarga di seluruh Malaysia menerima sumbangan dari Petronas pada tahun ini.

Mengimbas lalu kisah hidupnya, Sedi berkata hasil daripada perkahwinan pertama, beliau dikurniakan empat anak yang kini masing-masing menetap di Kuching, Sibu dan Saratok.

Manakala hasil perkahwinan keduanya bersama Juti Digat, dia dikurniakan seorang anak lelaki, Seman Juti yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Malangnya, suaminya, Juti meninggal dunia akibat sakit tua pada 2016 dan selepas itu, dia bergantung sepenuhnya kepada Seman yang kini bekerja di ladang berhampiran dan tinggal berasingan bersama keluarganya.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Seman tidak dapat menjenguk saya di sini dan sebab itulah, saya telah terputus bekalan makanan hampir tiga minggu,” ujarnya.

Menurutnya, beliau tidak dapat turun ke bandar Bintulu kerana tiada pengangkutan awam sepanjang tempoh PKP ini dan mujurlah adanya bantuan makanan daripada Petronas tatkala bekalan makanannya hampir habis.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan yang disalurkan Petronas ini dan sekurang-kurangnya ia membawa sinar serta keceriaan buat saya yang tinggal seorang diri di sini,” ujarnya yang tak pernah lekang dengan senyuman.

Dibina sejak lima tahun lalu, rumah kecil itu menjadi saksi bisu kepada kehidupan seharian warga emas yang hidup dalam serba kekurangan itu.

Bahang cuaca panas terik begitu terasa di dalam rumah itu memandangkan haba dari atap zink menerobos langsung ke ruangan biliknya.

Sebelum itu katanya, rumahnya itu tidak mempunyai bekalan elektrik, namun beliau nekad

untuk membeli penjana kuasa tenaga solar sejak dua tahun lepas yang digunakan untuk mengecas telefon bimbit serta kipas dan lampu.

“Namun sekiranya cuaca mendung, tenaga solar itu hanya mampu menghidupkan lampu malam sahaja kerana itulah saya perlu menggantung kelambu agar tidak digigit nyamuk pada waktu malam,” ujarnya.

Difahamkan Sedi turut bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk kegunaan seharian.

Sedi turut berkata pergerakannya agak terbatas kerana penyakit asma yang dihadapinya.

Bagaimanapun, demi kelangsungan hidup beliau perlu berjuang demi sesuap nasi dengan bercucuk tanam di tepi rumahnya selain mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan  Kebajikan Masyarakat (JKM).

Petronas melalui Yayasan Petronas secara amnya menyumbang secara berterusan ke arah pemerkasaan masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat, serta kelestarian alam sekitar.

Hasrat Petronas adalah untuk memacu kepercayaan bahawa kemajuan sosial adalah inklusif dan setiap individu berhak menikmati kualiti hidup yang lebih baik pada masa hadapan.

Advertisement