Anda di sini

Terengganu rancang jejaki anak tempatan berbakat dan berjaya

Advertisement
 Ahmad Samsuri (tengah) menerima cenderahati berupa potret beliau yang diserahkan sendiri oleh pelukisnya Elias Mohd di kediaman Menteri Besar Seri Setia, Kuala Terengganu, semalam. — Gambar Bernama
CENDERAHATI: Ahmad Samsuri (tengah) menerima cenderahati berupa potret beliau yang diserahkan sendiri oleh pelukisnya Elias Mohd di kediaman Menteri Besar Seri Setia, Kuala Terengganu, semalam. — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu akan merangka beberapa strategi untuk menjejak, mengumpul dan mengiktiraf anak Terengganu yang berjaya agar bakat dan kebolehan mereka boleh dijadikan inspirasi dan panduan kepada generasi sekarang dan akan datang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau yakin ramai anak tempatan yang hebat sama ada dalam seni budaya, seni lukis dan memiliki kepakaran dalam bidang sains dan teknologi.

Justeru, perjalanan hidup dan kejayaan yang dikecapi anak-anak Terengganu dalam kerjaya masing-masing  serta hasil karya seni mereka akan didokumenkan dan dipamerkankan buat tatapan umum, kata beliau  ketika   menggambarkan kesungguhannya dalam menghargai kebolehan luar biasa anak negeri yang mungkin terpinggir sebelum ini meskipun bakat mereka diiktiraf di peringkat dunia.   

“Ramai anak Terengganu yang berpotensi dan hebat di luar sana.

Sudah sampai masanya kita  ‘kumpulkan’ mereka untuk diceritakan kepada semua.

“Saya bertekad untuk menjejak kembali anak-anak negeri yang berkebolehan ini, kita akan dokumenkan dan paparkan untuk diketahui seluruh warga Terengganu dan Malaysia di mana-mana galeri yang sesuai,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menerima kunjungan pelukis profesional Elias Mohd, yang merupakan anak jati Terengganu dan pernah dipilih menjadi antara pelukis utama Diraja Belanda dari tahun 2013 sehingga 2016.

Beberapa minggu lepas artikel Bernama mengenai kesungguhan Elias melukis wajah beberapa wajah pemimpin negara yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 termasuk Ahmad Samsuri dengan hanya menggunakan pensil warna, tular di media arus perdana serta media sosial.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pertemuan itu telah membuka mata dan menjadi titik tolak kepada hasratnya itu, malah beliau mengakui kebolehan dan pencapaian Elias adalah sangat luar biasa dan mampu  menjadi inspirasi kepada anak tempatan untuk terus menerokai minat masing masing.

Elias, 62, yang popular di peringkat antarabangsa dengan sentuhan tersendiri turut menjadi tenaga pengajar dalam seni arca dan seni reka seramik di akademi seni pembuatan seramik di Amsterdam, serta telah mengadakan lebih 30 pameran solo di serata dunia dan pernah terpilih menjadi pelukis rasmi pada Temasya Sukan Olimpik Barcelona, Sepanyol pada 1992, bersama enam pelukis profesional Belanda yang lain.

Beliau pulang ke Malaysia untuk menyertai pameran arca di WTC (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) namun acara itu dibatalkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak Mac lepas  dan kini berada di kampung kelahirannya Kijal, Kemaman.

Selain Elias, seorang lagi anak Terengganu yang turut tular sejak kelmarin ialah Dr Salmaan Hussain Inayat Hussain, 52, yang merupakan satu-satunya pakar dari Malaysia dalam bidang kesan enapan racun makhluk perosak ke atas makanan, yang bertugas untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 2012.

Anak kelahiran Dungun itu merupakan panel pakar Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Dunia (FAO), yang bertanggungjawab menggariskan tahap selamat kesan enapan racun perosak dalam makanan, di seluruh dunia. — Bernama

Advertisement