Anda di sini

'Saya katak baik dan bijak', Baru masuk PSB

Advertisement
Wong, Baru dan See kini berganding bahu dalam PSB.
Wong, Baru dan See kini berganding bahu dalam PSB. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Dua bekas pemimpin PKR Baru Bian dan See Chee How kini sah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) bersama kira-kira 20 bekas pemimpin peringkat cabang. 

Baru yang merupakan Ahli Parlimen Selangau dan bekas Menteri Kerja Raya berkata beliau memilih menyertai PSB kerana memiliki aspirasi yang sama dalam membina Sarawak baharu - terbuka untuk semua kaum.

"Dua sebab utama (menyertai PSB) ialah masa (yang) tidak menyebelahi kami untuk mendaftarkan parti baharu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kita tidak mahu menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan rakyat Sarawak dengan tubuhnya parti baharu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, penyertaannya bersama dengan See (ADUN Batu Lintang) akan disusuli dengan lebih ramai lagi bekas ahli-ahli PKR.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada (Presiden PSB) Dato’ Sri Wong Soon Koh dan rakan-rakan kerana menerima kami dalam parti ini," katanya.

Mengulas mengenai tindakannya keluar PKR dan menyertai PSB yang dianggap sebagai 'katak', Baru berkata, beliau adalah 'katak baik' dan 'katak bijak' dalam arena politik yang dinamik. 

Tegasnya, ia disebabkan matlamat PKR yang dahulunya memperjuangkan nasib rakyat kini didakwanya telah berubah. 

Sementara itu, Wong berkata, PSB amat mengalu-alukan penyertaan Baru dan See bersama bekas ahli-ahli PKR lain menyertai parti tersebut.

Ditanya jawatan Baru dan See dalam parti itu, beliau menjelaskan, disebabkan kedua-dua mereka adalah wakil rakyat, secara automatik mereka dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan penyertaan Baru dan See bersama bekas ahli PKR lain akan memperkukuhkan lagi PSB dalam misi merampas tampuk kepimpinan negeri pada PRN akan datang.

  • oleh
  • Advertisement