Anda di sini

PSB pertimbang jalin kerjasama dengan parti pembangkang di Sarawak

Advertisement
Wong bersama Baru dan See pada sidang media hari ini.
Wong bersama Baru dan See pada sidang media hari ini.

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) sedia mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang di negeri ini dalam menempuh Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang akan datang.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama parti pembangkang di negeri ini seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenai perkara ini.

"Kami (PSB) bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang di negeri ini bagi menghadapi PRN12 akan datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu, kerjasama tersebut bagi membolehkan barisan pembangkang di negeri ini yang mempunyai visi yang sama memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-12, sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu.

"Dalam perbincangan kami, kita bersetuju dengan Yang Berhormat Baru Bian dan Yang Berhormat See Chee How, walaupun kita sudah mengenal pasti calon-calon bagi kerusi DUN, kita akan bekerjasama dengan parti pembangkang yang mempunyai pemikiran yang sama dalam PRN akan datang supaya kita dapat memenangi majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan negeri seterusnya dan mula melaksanakan wawasan bersama kita untuk Sarawak," tambah Wong.

Menurutnya lagi, ini dapat menjadi permulaan bagi Sarawak untuk memiliki suara yang tulen dan berkesan dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan menuntut semula tempat yang selayaknya dalam Persekutuan.

"Kami akan bekerja keras dan bersama-sama demi kebaikan rakyat dan menempa sejarah baharu untuk Sarawak," jelasnya.

Ditanya sama ada PSB akan bersama dengan barisan pembangkang dalam persidangan DUN, Wong berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan DAP berkaitan perkara tersebut.

"Kami ada enam kerusi DUN, begitu juga DAP. Jadi kami akan berbincang bersama siapa yang akan mengetuai barisan pembangkang (di Sarawak)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSB George Lo menambah, parti tersebut belum lagi mengadakan apa-apa perbincangan dengan DAP berhubung perkara berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement