Anda di sini

Kvitova berasa ‘pelik’ dengan protokol kesihatan baharu

Advertisement
 Kvitova semasa beraksi menentang Muchova pada final Kejohanan Czech di Prague. — Gambar AFP
PENGALAMAN BERBEZA: Kvitova semasa beraksi menentang Muchova pada final Kejohanan Czech di Prague. — Gambar AFP

PRAGUE: Daripada penutup hidung dan mulut, hantukan raket, cebisan kapas pokok polar di merata tempat dan prospek bagi final yang berlangsung di pusat media, kejohanan tenis pertama di Prague pasca sekatan pergerakan menawarkan pelbagai saat yang pelik.

Acara seluruh Czech selama tiga hari itu, yang melagakan lapan orang wanita dan lapan orang lelaki, yang berakhir kelmarin, berlangsung di bawah protokol kesihatan yang ketat untuk mencegah penularan COVID-19 baharu.

“Sarung tangan, penutup hidung dan mulut, hakikat bahawa tidak ada orang memberi tuala kepada kami, tidak ada berjabat tangan, ia ternyata pelik,” kata juara Wimbledon sebanyak dua kali Petra Kvitova selepas dia memenangi pertandingan wanita dalam acara itu.

“Selepas bermain tanpa manusia, suasana sebenarnya bukan apa yang biasa bagi kita,” tambah pemain nombor 12 dunia berusia 30 tahun itu, yang menewaskan Karolina Muchova 6-3, 6-3 dalam final yang diganggu oleh hujan.

Hujan malah membuat penganjur menimbangkan kemungkinan untuk memindahkan final ke sebuah dewan berdekatan yang mengandungi dua gelanggang bersebelahan – satu siap sedia untuk perlawanan, dan satu lagi bertindak sebagai pusat media.

Acara itu diadakan secara tertutup, dengan beberapa penonton yang diberi tempat di belakang pagar di mana mereka berusaha untuk mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Di gelanggang, penjaga garisan terpaksa memakai penutup hidung dan mulut, sama seperti pengutip bola yang turut memakai sarung tangan untuk mencegah pencemaran.

Sepanjang kejohanan, pemain memakai penutup hidung dan mulut hingga ke gelanggang.

“Saya agak ini adalah perkara paling pelik, memakai penutup hidung dan mulut. Dan kita tidak dapat berjabat tangan dengan lawan dan pengadil,” kata Barbora Strycova, pemain nombor dua dunia dalam cara beregu, yang tersingkir pada peringkat separuh akhir.

Daripada berjabat tangan, pemain sekadar menghantuk raket mereka di jaring.

“Kedua-dua kami ketawa mengenainya. Ia adalah ‘berjabat raket’ pertama saya dan ia adalah aneh,” kata Muchova selepas perlawanan pusingan pertamanya.

“Perkara paling pelik ialah tempat duduk tanpa manusia di sekeliling kami, tidak ada orang bersorak, kami hanya melambai kepada pengadil,” tambah pemain nombor 26 dunia itu.

Sepanjang perlawanan, dan khususnya sewaktu perlawanan akhir kelmarin yang beribut dan mendung, pemain bergelut dengan cebisan kapas poplar dari taman berhampiran di pinggir utara Prague.

“Apabila ia masuk ke dalam bulu mata anda, ke dalam mata anda dan – harap tidak – ke dalam mulut anda, ia tidak menyenangkan,” kata Kvitova.

Walaupun demikian, para pemain sebulat suara memuji peluang itu selepas sekian lama berehat dari sukan itu.

“Mengambil kira keadaan dan pandemik, ia adalah kejohanan yang hebat,” kata Kvitova.

“Ia adalah hebat kerana sesuatu berlaku semula. Saya harap ini akan menandakan permulaan bagi kepulangan kepada keadaan normal bagi dunia tenis.”

“Ia adalah hebat untuk kembali bermain,” kata Muchova.

“Saya bermain menentang pemain yang saya dapat jumpa pada peringkat separuh akhir di kejohanan grand slam. Kami bermain dengan hebat.” — AFP

Advertisement