Anda di sini

EPL sambung kembali musim 19/20 pada Jun ini

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 12 Ogos 2017 ini menunjukkan trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris diletakkan di tepi padang pada aksi perlawanan di antara Brighton dan Manchester United di Stadium American Express Community di Brighton. — Gambar AFP
SAAT DINANTIKAN: Gambar fail bertarikh 12 Ogos 2017 ini menunjukkan trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris diletakkan di tepi padang pada aksi perlawanan di antara Brighton dan Manchester United di Stadium American Express Community di Brighton. — Gambar AFP

LONDON: Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin bersetuju untuk menyambung semula musim 2019/20 pada 17 Jun, dengan syarat semua langkah keselamatan sudah dilaksanakan untuk mencegah penularan COVID-19.

Aston Villa lawan Sheffield United dan Manchester City lawan Arsenal – kedua-duanya perlawanan yang disusun semula – akan berlangsung pada tarikh tersebut, liga utama Inggeris menyebut dalam satu kenyataan.

Selepas perlawanan tersebut, kesemua 20 kelab akan mengadakan 29 perlawanan menjelang hujung minggu 19-21 Jun, apabila perlawanan lain dalam liga utama dijadual beraksi.

Perlawanan terakhir dalam EPL sebelum penutupan musim adalah Leicester lawan Aston Villa pada 9 Mac lalu, dan seluruh bola sepak profesional Inggeris digantung empat hari kemudian.

Pemegang saham dalam EPL kelmarin turut meluluskan cadangan yang akan menyaksikan kesemua 92 perlawanan yang berbaki disiarkan secara langsung di Britain, termasuk beberapa perlawanan di saluran BBC.

Masa sepak mula yang dirancang juga akan berbeza daripada masa tradisional.

“Hari ini kita sudah bersetuju buat masa ini untuk menyambung semula Liga Perdana pada Rabu 17 Jun,” kata ketua eksekutif EPL Richard Masters.

“Tetapi tarikh ini tidak dapat disahkan sehingga kita sudah memenuhi semua syarat keselamatan yang diperlukan, kerana kesihatan dan kebajikan semua peserta dan penyokong adalah keutamaan kami.

“Malangnya, perlawanan terpaksa berlangsung tanpa penyokong dalam stadium, jadi kita gembira untuk mencapai penyelesaian yang positif bagi penyokong supaya mereka dapat menonton kesemua 92 baki perlawanan.”

Kapten England, Harry Kane, yang bersama Tottenham, menciap: “Bola sepak akan kembali tidak lama lagi.”

Tarikh bersambung tertakluk kepada kebenaran yang diberikan oleh kerajaan Britain kepada sukan peringkat tertinggi.

Setiausaha Negara bagi Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan Oliver Dowden menciap sokongannya kepada pengumuman EPL semalam.

“Kita sedang mengusahakan panduan kerajaan sebelum kita memberi lampu hijau kepada kepulangan sukan,” katanya.

EPL menggantung semua perlawanan pada Mac lalu selepas pengurus Arsenal Mikel Arteta dan pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi, didapati positif bagi COVID-19.

Liverpool bimbingan Jurgen Klopp nampak pasti akan dinobatkan sebagai juara tetapi isu relegasi dan kelayakan Eropah masih perlu diselesaikan.

"WE. GO. AGAIN," ciap pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum.

“Kami akan merindui ketiadaan anda di stadium tetapi kami akan melakukan segala yang termampu untuk membuat anda bangga.”

Bekas penyerang England Gary Lineker, sekarang pengacara bagi program bola sepak utama BBC, Match of the Day, berkata: “Ia akan kembali, ia akan kembali, ia akan datang, bola sepak akan kembali!”

Sementara itu The Times melaporkan beberapa perlawanan ‘berisiko tinggi’, seperti perlawanan di tempat sendiri bagi Liverpool di Anfield yang dapat menyaksikan mereka memenangi kejuaraan, mungkin akan diadakan di stadium neutral untuk menghalang penyokong daripada berkumpul di luar stadium yang melanggar peraturan penjarakan sosial.

Kelab liga utama telah mengundi sebulat suara pada Rabu lepas untuk kembali kepada latihan kontak.

Setakat ini, hanya 12 orang sahaja didapati positif dalam saringan untuk COVID-19 selepas 2,752 saringan dalam EPL.

Bundesliga di Jerman disambung pada awal bulan ini dan La Liga di Sepanyol berharap untuk kembali bermula 11 Jun, manakala Serie A di Itali akan kembali pada 20 Jun.

Liverpool mendahului dengan kelebihan 25 mata di tempat teratas liga manakala Bournemouth, Aston Villa dan Norwich City menduduki tempat relegasi.

Pendahulu liga itu dapat memenangi kejuaraan dengan kemenangan dalam perlawanan pertama mereka selepas kepulangan mereka jika kelab di tempat kedua Manchester City tewas kepada Arsenal.

Pengurus Tottenham Jose Mourinho bercakap pada minggu ini mengenai kedesakannya untuk bermain semula selepas dia melihat bola sepak disambung di negara lain.

“Sejujurnya, sejak saat Bundesliga bermula, liga Portugal dan liga Sepanyol mengumumkan tarikh untuk bermula, saya rasa ia adalah saat paling sukar bagi kita, kerana kita mahu bermain,” katanya kepada Sky Sports.

Beberapa pemain telah menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan mereka dan keluarga mereka akibat virus. — AFP

Advertisement