Anda di sini

Tiada kes kematian COVID-19 tujuh hari berturut-turut di Malaysia

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Tiada kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan di Malaysia tujuh hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.49 peratus). 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata selain itu sebanyak 66 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih dan discaj sebanyak 6,235 kes (80.6 peratus).

“Dalam pada itu, terdapat 103 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,732 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,382 kes,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata lonjakan kes baharu dilaporkan pada hari ini adalah disebabkan oleh kes dalam kalangan warga asing.

“...103 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia. Oleh itu, kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia adalah 12 kes sahaja,” katanya.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan dua daripada kes memerlukan bantuan pernafasan. - BERNAMA

Advertisement