Anda di sini

Mbappe idam ‘dakap’ trofi Liga Juara-Juara dan Kejohanan Eropah

Advertisement
MBAPPE
MBAPPE

PARIS, Perancis: Penyerang muda sensasi, Kylian Mbappe, berkata cita-cita beliau seterusnya ialah untuk memenangi Liga Juara-Juara dan Kejohanan Eropah (Euro), selain menegaskan memenangi anugerah Ballon d’Or bukan sesuatu yang beliau fokuskan.

Mbappe sudah memenangi beberapa anugerah individu dan berpasukan walaupun masih berusia 21 tahun, memenangi tiga kejuaraan Ligue 1 Perancis berturut-turut bersama kelab Paris Saint Germain (PSG) dan juga memenangi trofi Piala Dunia 2018 bersama Perancis.

Di peringkat individu, beliau dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik di Piala Dunia 2018 dan Pemain Perancis Terbaik pada 2018 dan 2019, sebagai antara gelaran individu yang dimenanginya.

Apabila ditanya tentang cita-cita besar seterusnya, beliau menggariskan kejayaan berpasukan bersama Perancis di Euro tahun hadapan dan juga kejuaraan Liga Juara-Juara bersama PSG.

“Mengekalkan kejayaan bersama pasukan kebangsaan – musim hadapan kami mempunyai Euro dan ia akan menjadi cita-cita kami untuk muncul juara,” kata Mbappe ketika memberitahu akhbar The Mirror.

“Ia satu cita-cita besar saya untuk memenangi Piala Eropah dan menjadi sebahagian dari pasukan PSG yang memenangi Piala Eropah yang pertama mereka, jadi ia sememangnya sangat istimewa.”

Walaupun menguasai bola sepak domestik, PSG bergelut memburu kejuaraan di peringkat antarabangsa sejak beberapa musim.

PSG disingkirkan di pusingan kedua Liga Juara-Juara pada dua musim pertama mereka sementara saingan musim ini masih belum mendapat kepastian ekoran pandemik koronavirus (COVID-19).

PSG menewaskan Borussia Dortmund di pusingan kedua Liga Juara-Juara musim ini sebelum kejohanan ditangguhkan.

Kejayaan di Eropah bersama PSG akan meningkatkan lagi peluang Mbappe untuk memenangi anugerah Ballon d’Or, yang sering dimenangi sama ada oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sepanjang dekad yang lalu.

Di antara 2008 dan 2019, kedua-dua bintang bola sepak itu memenangi anugerah itu kecuali pada 2018, yang dimenangi oleh Luka Modric.

Ketika Ronaldo dan Messi memasuki penghujung kerjaya mereka, Mbappe dibayangkan akan menjadi salah seorang pemain yang dijangka akan memenangi anugerah itu di masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan anugerah individu adalah perkara kedua berbanding kejuaraan berpasukan.

“Ia sememangnya menarik jika menang tetapi ia bukan sesuatu yang menyebabkan saya tidak tidur lena,” kata beliau. “Saya tidak fikir saya perlu memenanginya pada musim hadapan atau musim seterusnya – tiada had yang perlu saya tetapkan.

“Seperti biasa, saya akan meletakkan kelab dan pasukan kebangsaan sebagai keutamaan saya. Dan selepas itu, jika penghargaan individu itu diberikan, ia mungkin satu bonus.” — AFP

Advertisement