Anda di sini

Keahlian Dr Mahathir, empat Ahli Parlimen Bersatu terhenti serta-merta

Advertisement
 

KEAHLIAN Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Turut menerima nasib yang sama ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah, serta Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berhubung perkara itu tular di media sosial hari ini.

“Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB Tun juga telah menyertai dan duduk di blok pembangkang. 

“Maka, dengan ini dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, keahlian YB Tun dalam Bersatu adalah terhenti serta-merta," menurut surat itu.

Surat itu juga menyatakan kelima-lima ahli Parlimen berkenaan duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu pada sidang Dewan Rakyat lepas.

--

Sementara itu, lima Ahli Parlimen ini mengeluarkan kenyataan bersama bahawa mereka tidak bersetuju keahlian mereka dalam parti itu terhenti serta-merta dan menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang.

Kenyataan yang ditandatangani Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee, dan Amiruddin itu menyebut bahawa tindakan yang diambil parti menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan.

Mereka turut mendakwa surat itu ditandatangani individu yang tidak diberi kuasa di bawah perlembagaan parti.

Sementara itu, Armada dalam kenyataan berasingan turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah dan tidak mengikut lunas perlembagaan parti selain tidak melalui lembaga disiplin parti.

“Armada Bersatu Malaysia menolak pemecatan yang tidak berasas ini,” menurut kenyataan Armada yang ditandatangani Ketua Penerangan Armada Malaysia Ulya Aqamah Husamudin. - BERNAMA 

Advertisement