Anda di sini

Kampung Tian, Matu diisytihar kawasan baharu Rabies

Advertisement
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini mengisytiharkan satu lagi kawasan baharu wabak Rabies, Kampung Tian, Matu, Mukah.

Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, memandangkan kawasan itu berada di luar 10 kilometer radius yang telah diisytiharkan wabak Rabies sebelum ini, maka kampung tersebut merupakan kawasan yang ke-64. 

"Kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak Rabies adalah Kuching sebanyak tujuh kawasan, Sri Aman (5), Sibu (2), Miri (6), Sarikei (5), Kapit (1), Bintulu (4), Samarahan (4), Betong (3), Serian (22) dan Mukah (5)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) menerima satu kes gigitan anjing pada 25 Mei lalu melibatkan seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang digigit anjing peliharaannya pada 24 Mei 2020 di Taman Sanhill Barat, Sibu. 

Jelasnya, keputusan ujian pada 27 Mei 2020 melalui ujian 'Antigen Rapid Rabies Ag Test' menunjukkan anjing tersebut adalah positif rabies. 

"Sampel anjing tersebut juga telah dihantar ke Makmal Diagnosa Veterinar Sarawak untuk ujian makmal 'Direct Fluorescent Antibody Technique' (FAT)," tambahnya. 

Pada masa sama beliau memberitahu, kes gigitan haiwan di Sibu khususnya anjing masih lagi tinggi dengan purata 35 peratus bilangan kes notifikasi gigitan anjing bulanan yang diterima JPVS.

Menurutnya lagi, wabak Rabies di Sarawak yang telah diisytiharkan pada 1 Julai 2017 kini memasuki tahun keempat. 

Bagaimanapun, katanya, wabak ini masih terkawal dan sejak Januari 2020 sehingga 27 Mei 2020 yang mana JPVS menerima 1,254 jumlah notifikasi kes gigitan haiwan yang terdiri daripada 81.9 peratus haiwan bertuan dan 18.1 peratus haiwan liar. 

"Kebanyakan kes gigitan ini merupakan kes gigitan anjing yang disebabkan oleh provokasi terutamanya kepada anjing yang bertuan dan orang ramai dinasihati untuk mengelak berbuat demikian bagi mengurangkan risiko serangan balas anjing di luar jangkaan," tegasnya. 

Manakala pada tahun ini, beliau berkata, jumlah persampelan kes gigitan melalui ujian FAT dan 'Polymerase Chain Reaction'  (PCR) yang diterima setakat hari ini pula adalah 116 (32.8 peratus positif).

  • oleh
  • Advertisement