Anda di sini

Corak bertahan seperti ‘pasukan sekolah’: Nagelsmann

Advertisement
 Grujic  (dua kiri) ceria selepas menjaringkan gol penyamaan buat Hertha ketika beraksi pada perlawanan Bundesliga di Berlin, Jerman kelmarin.  Gambar sisipan Nagelsman. — Gambar AFP
CUKUP BERMAKNA: Grujic (dua kiri) ceria selepas menjaringkan gol penyamaan buat Hertha ketika beraksi pada perlawanan Bundesliga di Berlin, Jerman kelmarin. Gambar sisipan Nagelsman. — Gambar AFP

BERLIN, Jerman: Julian Nagelsman mengkritik corak bertahan pasukan RB Leipzig seperti ‘pasukan sekolah’ ketika seri 2-2 dengan Hertha Berlin di tempat sendiri, sekali gus mensia-siakan peluang untuk melonjak ke  tangga kedua Bundesliga Jerman pada Rabu.

Penyerang Hertha, Krzystof Piatek, mengikat kedudukan dengan satu tendangan penalti lewat untuk membawa pulang satu mata berharga dan menyelamatkan maruah penjaga golnya, Rune Jarstein, yang melakukan kesilapan untuk gol kedua Leipzig.

Bagaimanapun, Nagelsmann naik berang apabila Leipzig menghadiahkan gol mudah dari satu tendangan sudut ketika berbaki sembilan minit permainan apabila pemain tengah Hertha, Marko Grujic, menjaringkan gol dengan mudah kerana tidak dikawal oleh mana-mana pemain Leipzig.

“Kami bermula dengan baik tetapi ketinggalan kerana kami bertahan seperti sebuah pasukan sekolah,” kata Nagelsmann.

“Kami seperti tidak melakukan apa-apa, semua pemain hanya berdiri, membolehkan beliau (Gruijic) melakukan penyudah dalam kotak penalti.

“Ini adalah kali kedua berturut-turut di tempat sendiri di mana kami bolos dari tendangan sudut,” kata Nagelsmann ketika merujuk keputusan seri 1-1 dengan Freiburg pada perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri.

“Kami harus menyalahkan diri kami sendiri. Kami berasa gembira di mana kami membawa pulang satu lagi mata tetapi saya tidak berasa gembira.”

Piatek, yang menyertai Hertha pada bulan Januari untuk sekitar 25 juta euro dari AC Milan, menjaringkan  gol kedua beliau dari sembilan perlawanan liga apabila menyempurnakan satu tendangan penalti pada minit ke-82.

Gol penalti Piatek memastikan satu mata sekali gus melanjutkan rekod tanpa kalah jurulatih Bruno Labbadia dari tiga perlawanan dan menyelamatkan malu Jarstein.

Jarstein gagal menangkap kemas rembatan Patrik Schick untuk membolehkan Leipzig mendahului kedudukan 2-1 pada minit ke-68.

Leipzig baharu kehilangan seorang pemain apabila Marcel Halstenberg diarahkan meninggalkan padang selepas menerima kad kuning kedua ekoran kekasaran ke atas Cunha.

Separuh masa pertama berkesudahan 1-1 selepas Hertha membuka jaringan awal apabila Grujic merembat kencang pada minit kesembilan.

Leipzig bangkit dan mengikat kedudukan apabila Lukas Klostermann menjaringkan gol pada minit ke-24.

Keputusan seri itu mengekalkan Leipzig di tangga ketiga, dua mata di belakang Dortmund yang tewas 0-1 kepada pendahulu liga, Bayern Munich pada Selasa.

“Hari ini, tiga mata menjadi buruan tetapi kami tidak mengambil peluang itu,” tambah Nagelsmann.

Pada perlawanan lain, Schalke masih tanpa kemenangan dari 10 perlawanan apabila tewas 1-2 kepada kelab tercorot, Fortuna Duesseldorf.

Wetson McKennie meletakkan Schalke di hadapan sebelum rehat tetapi Fortuna bangkit dengan dua gol dalam tempoh lima minit menerusi jaringan Rouwen Hennings dan Kenan Karaman.

Kekalahan ketiga berturut-turut buat Schalke menyebabkan mereka tercicir ke tangga kesembilan liga selepas berada di tangga ketiga pada bulan Disember.

Penyerang Cologne, Mark Uth gagal menyempurnakan penalti pada perlawanan kedua berturut-turut ketika pasukannya tewas 1-3 di Hoffenheim, dengan kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain.

Christoph Baumgartner hampir menjaringkan hatrik selepas menjaringkan gol awal, dengan satu lagi gol tidak dibenarkan kerana ofsaid sebelum menjaringkan gol kedua sebelum rehat.

Cologne kehilangan seorang pemain apabila Sebastian Bornauw dilayangkan kad merah serta-merta kerana kekasaran ke atas Baumgartner, yang mengumpan bola kepada Steven Zuber untuk meletakkan Hoffenheim 3-0 pada awal separuh masa kedua.

Hoffenheim kemudian kehilangan seorang pemain apabila Florian Kainz diarahkan meninggalkan padang selepas menerima kad kuning kedua.

Uth, yang juga melihat penalti beliau ketika menentang Duesseldorf berjaya ditepis, melihat penalti pada minit ke-77 ditepis penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann.

Kelab tercorot, Paderborn, mengutip satu mata apabila mengikat Augsburg tanpa jaringan di tempat lawan sementara Unin Berlin seri 1-1 dengan Mainz. — AFP

Advertisement