Anda di sini

Baru dan See menyertai PSB

Advertisement
 

KUCHING: Dua bekas pemimpin PKR, Baru Bian (kiri) dan See Chee How (kanan) akan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB), ujar presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh hari ini. 

Menurutnya, Baru (ADUN Ba' Kelalan) dan See (ADUN Batu Lintang) akan membuat pengumuman rasmi pada sidang media di ibu pejabat PSB di sini esok.

"Kami mempunyai objektif sama iaitu menjaga kepentingan Sarawak. Seperti yang dikatakan oleh YB Baru sebelum ini, beliau menyukai misi dan visi parti kami yang berbilang kaum, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, dan juga mendahulukan rakyat," katanya kepada The Borneo Post ketika diminta mengulas mengenai khabar angin menyatakan Baru dan See akan menyertai PSB.

Wong juga mengatakan yang PSB mengalu-alukan penyokong Baru dan See untuk menyertai parti itu, selain akan mengulas lebih lanjut mengenai perkembangan politik pada sidang media esok.

Dalam pada itu, Baru dan See gagal dihubungi untuk mendapatkan komen.

Baru, yang juga Ahli Parlimen Selangau, merupakan bekas pengerusi PKR Sarawak, telah keluar dari parti itu semasa kemelut politik pada Mac yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Baru merupakan bekas Menteri Kerja Raya.

See sementara itu, merupakan ketua cabang PKR Stampin sebelum dipecat pada bulan lalu oleh pimpinan pusat parti itu bersama dengan beberapa pemimpin cabang lain kerana didakwa bekerjasama dengan parti lain untuk melemahkan kepemimpinan PKR.

Setelah keluarnya Baru dan See dari PKR, pemimpin cabang lain juga keluar dari parti itu dan beberapa di antara mereka keluar bersama ahli jawatankuasa secara beramai-ramai.

Dengan dua wakil rakyat yang menyertai PSB, parti itu akan mempunyai enam anggota dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement