Anda di sini

Aplikasi COVIDTrace, QMUNITY dilancar bagi mengesan kontak COVID-19 secara digital 

Advertisement
Abang Johari melancarkan aplikasi pengesanan kontak COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia. Turut kelihatan Uggah, Masing (kiri) dan Zaidi (dua kiri). Gambar Chimon Upon
Abang Johari melancarkan aplikasi pengesanan kontak COVID-19, turut kelihatan Uggah, Masing dan Zaidi (dua kiri). - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Aplikasi COVIDTrace dan QMUNITY dilancarkan bagi mengesan kontak COVID-19 dalam kalangan umum di negeri ini menerusi platform digital. 

Majlis pelancaran kedua-dua aplikasi tersebut berlangsung di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Dalam ucapan pelancarannya, Abang Johari berkata aplikasi ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menjaga kesihatan rakyat dan mendapatkan data. 

“Aplikasi pertama COVIDTrace adalah untuk mengesan kontak COVID-19 bagi memutuskan rantaian jangkitan sekali gus mengelak gelombang kedua COVID-19. 

“Manakala aplikasi QMUNITY dibangunkan khusus untuk perniagaan dimana pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR bagi menyimpan data,” katanya.

Tambah Abang Johari, sejak kemunculan pandemik ini masyarakat kini menyedari kepentingan teknologi digital. 

Sarawak katanya mengambil langkah yang tepat apabila beralih kepada ekonomi digital tiga tahun lalu. 

“Sejak pandemik ini kita dapat lihat kepentingan teknologi digital. Malah ketika bulan Ramadan lepas, masyarakat termasuk penjual ikan mula beralih kepada perniagaan secara atas talian. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Sarawak kerana menggunapakai teknologi ini dan ini membuktikan pelaburan kita dalam ekonomi digital adalah tepat,” katanya. 

Bercakap mengenai aplikasi tersebut, ia boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apple Store. 

Aplikasi COVIDTrace dibangunkan oleh Kerajaan Negeri menerusi SMA dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS). 

Manakala aplikasi QMUNITY dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek  tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kerjasama JT Utama Sdn Bhd, ARx Media Sdn Bhd dan Huawei Cloud. 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Masing serta Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak. 

  • oleh
  • Advertisement