Anda di sini

Abdullah puji penduduk rumah panjang, patuh PKP demi banteras COVID-19

Advertisement
Abdullah menyampaikan bantuan kepada Tuai Rumah di Rumah Won, Bekakong, Daro, hari ini.
Abdullah menyampaikan bantuan kepada Tuai Rumah Won di Bekakong, Daro, hari ini.

PARA penduduk rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop dipuji kerana begitu patuh peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sentiasa mengutamakan kebersihan.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol yang berkata demikian, menambah kebanyakan masyarakat Iban di kawasannya peka dengan bahaya COVID-19, justeru mereka menitikberatkan soal keselamatan kesihatan.

Menurutnya, terdapat rumah panjang meletak notis larangan masuk kawasan rumah panjang bagi orang luar dan mereka yang bekerja di bandar - demi menyekat penularan COVID-19 terutama ketika Hari Gawai Dayak.

“Kalau diamati betul-betul, rasanya belum ada dilaporkan kes positif dari mana-mana rumah panjang di Sarawak. Malah kawasan Kapit mengekalkan status hijau mereka sejak PKP dikuatkuasakan. 

“Ini membuktikan masyarakat di kawasan rumah panjang sentiasa mematuhi aturan serta cadangan semasa PKP dikuatkuasakan,” katanya ketika menyampaikan sumbangan sempena Gawai kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan dari 50 rumah panjang di kawasan DUN Semop, hari ini.

Beliau turut menasihati penduduk di kawasannya agar mengekalkan tahap penjagaan kesihatan dan memastikan arahan terus dipatuhi agar bebas daripada ancaman COVID-19. 

Justeru, perayaan Gawai pada tahun ini sudah pasti kurang meriah kerana negara masih berusaha membasmi COVID-19 dengan menetapkan syarat dalam kehidupan seharian.

“Penghargaan juga wajar diberi kepada mereka (penduduk rumah panjang) yang sama-sama berjuang dan berkorban demi memastikan virus ini tidak menular ke kawasan luar bandar,” katanya.

Mengenai sumbangan Gawai, Abdullah berkata RM92,000 disampaikan kepada 50 JKKK rumah panjang, menerusi perjumpaan ringkasnya dengan Tuai-tuai Rumah di enam lokasi di kawasannya, hari ini dan esok.

Menurutnya, sumbangan ini adalah untuk menampung sedikit pembelanjaan penduduk rumah panjang yang ingin mengadakan majlis kecil sesama keluarga mereka.

“Kita semua tahu perayaan Gawai Raya kita pada tahun ini tidak semeriah dengan pelbagai majlis seperti tahun-tahun yang lepas. 

“Sekurang-kurangnya dengan sumbangan ini mereka dapat mengadakan majlis kecil sesama keluarga, saudara-mara atau sahabat handai daam satu rumah panjang,” jelasnya.

Penempatan masyarakat Iban di kawasan Semop terletak di  Bekakong, Kelai, Teluk Gelam, Berangan, Mupong, Semareng, Selidap, Sungai Sian dan Muara Bunut yang terletak di Daerah Daro, Tanjung Manis dan Meradong.

Sementara itu, bagi memastikan garis panduan PKP Bersyarat dipatuhi, setiap perjumpaan Abdullah dengan Tuai-tuai Rumah hanya melibat kumpulan kecil.

Langkah keselamatan seperti penjagaan jarak, pengunaan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan dititiberatkan dan diamalkan semasa perjumpaan tersebut.

Advertisement