Anda di sini

48 kesalahan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

Advertisement
Nanta (tiga kiri) bersama Minos (kiri) dan pegawai penguatkuasa semasa membuat lawatan pemantauan di Pasar Bandar Riyal di Kota Samarahan.
Nanta bersama Minos dan pegawai penguatkuasa semasa membuat lawatan pemantauan di Pasar Bandar Riyal di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 48 kes kesalahan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) seluruh negara setakat 28 Mei.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, SHMMP yang bermula pada 28 Mei itu juga menyaksikan sebanyak RM118,000 kompaun telah dikeluarkan sehingga tempoh yang sama.

Menurutnya, KPDNHEP sehingga kini telah mengadakan sebanyak 17,496 pemantauan seluruh negara.

"Hasil daripada pemantauan itu setakat 28 Mei kita menerima sebanyak 22 aduan serta 48 kes kesalahan dengan nilai rampasan RM10,448.30. Bagaimanapun tiada kes yang direkod di Sarawak dan ini adalah yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan di Pasar Bandar Riyal di sini, hari ini.

Hadir sama pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos dan pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP Kuching.

Nanta berkata kebanyakan kesalahan dibawah SHMMP melibatkan peringkat runcit dimana sebanyak 31 kes kesalahan tidak mempamerkan tanda harga barang dan 17 kes menjual barangan melebihi harga maksima ditetapkan. 

Beliau berkata dengan jumlah pemantauan dan kompaun yang dikeluarkan itu ia membuktikan penguatkuasaan kementerian sentiasa bergerak dan memantau di lapangan.

"Ada sesetengah pihak membuat tuduhan pegawai penguatkuasa KPDNHEP tidak turun memantau, ia adalah tidak benar dan mereka sentiasa berada di lapangan membuat pemantauan sepanjang tempoh SHMMP.

"Ini dibuktikan dengan pemeriksaan kita dijalankan serta kompaun yang kita kenakan kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan dibawah skim ini," katanya.

Dibawah SHMMP, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum individu boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000  atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Sementara bagi syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala bagi syarikat mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Tindakan pengeluaran notis boleh diambil terhadap mana-mana peniaga yang ingkar di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Orang awam yang mempunyai sebarang aduan berkaitan skim boleh menghubungi portal e-auan.kpdnhep.gov.my atau  call centre  (1800 886 800), emel ([email protected]), aplikasi telefon pintar Ez ADU, atau ECC (03-8882 6245 / 6088) dan aplikasi Whatsapp di talian 019-2794 317.

  • oleh
  • Advertisement