Anda di sini

Villas-Boas akan kekal sebagai jurulatih Marseille

Advertisement
VILLAS-BOAS
VILLAS-BOAS

MARSEILLE, Perancis: Andre Villas-Boas akan kekal sebagai jurulatih Marseille pada musim hadapan, menurut pengumuman kelab pada Isnin, walaupun laporan meluas di mana jurulatih dari Portugal itu akan meninggalkan kelab selepas hanya satu musim.

“Selepas beberapa perbincangan dalam beberapa hari dengan Frank McCourt dan Jacques-Henri Eyraund, Andre Villas Boas telah mengesahkan bahawa beliau mahu terus bekerja dengan kelab pada musim  hadapan,” kata kelab.

Minggu lepas, Marseille menawarkan Villas-Boas – di mana kontrak semasa beliau berlarutan sehingga akhir musim hadapan – lanjutan kontrak dua tahun ketika keraguan timbul tentang masa depannya ekoran peletakan jawatan rakan baik yang juga pengarah teknikal kelab, Andoni Zubizarreta.

Villas-Boas, 42, membimbing Marseille ke tangga  kedua di belakang Paris Saint Germain (PSG) dalam Ligue 1 yang ditamatkan lebih awal kerana pandemik koronavirus (COVID-19).

Marseille, yang dimiliki oleh taikun dari Amerika Syarikat (AS), Frank McCourt, akan beraksi dalam Liga Juara-Juara pada musim hadapan untuk kali pertama sejak musim 2013/2014.

Bagaimanapun, bekas jurulatih FC Porto, Chelsea dan Tottenham Hotspur itu menyuarakan kebimbangan  tentang kemampuan pelaburan kelab ke atas pemain baharu untuk musim hadapan.

Pengesahan di mana Villas-Boas – yang sangat popular di kalangan penyokong kelab – akan terus kekal dibuat beberapa jam selepas kumpulan penyokong menyelar lembaga pengarah kerana apa yang mereka gelar “bertahun-tahun pengurusan buruk”.

Penyokong mengkritik sistem bayaran balik kepada pemegang tiket bermusim selepas musim ditamatkan lebih awal. Satu pilihan diberikan oleh kelab ialah pemegang tiket melupakan bayaran balik dan mendermakan wang berbanding membantu kewangan kelab.

“Ia kelihatan logik kepada kami sebulan yang lalu untuk memberikan wang kepada kelab untuk membantu mereka mengharungi saat sukar,” menurut penyokong dalam satu kenyataan bersama.

“Bagaimanapun, maklumat yang kami terima selepas itu membawa kepada persoalan ini. Ia jelas di mana kami berada dalam kesukaran kewangan kerana bertahun-tahun pengurusan buruk kelab.

“Ia mudah untuk meminta sokongan kewangan dari penyokong tetapi dalam masa yang sama, presiden kelab tidak mampu menangani kelab yang menuntut gaji yang tinggi di kalangan pemain.”

Kelab sudah berbelanja melebihi had Peraturan Kewangan Bersih UEFA sejak McCourt membeli kelab pada 2016.

Mereka kerugian 91 juta euro musim lepas dan ia diburukkan lagi dengan kerugian musim ini kerana pandemik COVID-19.

Badan induk bola sepak Eropah (UEFA), mengumumkan pada bulan Mac di mana Marseille telah dirujuk ke Badan kawal Selia Kewangan Kelab kerana tidak mematuhi persetujuan mengimbangi perbelanjaan kelab.

Kelab sudah menandatangani satu “persetujuan penyelesaian” yang menyaksikan kelab harus bermain dengan jumlah skuad yang kurang untuk kejohanan di Eropah pada musim hadapan dan membayar balik sehingga empat juta euro sebarang hadiah kemenangan.— AFP

Advertisement